KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bakal menjalinkan usahasama dengan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) bagi membangunkan Ladang Pengasih - projek pertanian khas untuk bekas penagih dadah.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebagai permulaan, tanah seluas lebih 14 hektar di Mawai, Johor akan dijadikan projek perintis untuk meningkatkan hasil komersial tanaman pisang tanduk di kawasan tersebut.
"Kalau boleh, aktiviti perladangan atau penternakan itu nanti dilaksanakan secara tersusun.
"Kementerian akan menyediakan peruntukan dan prasarana utama bagi membantu memajukan projek itu nanti," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Rumah Pengasih di sini, Selasa.
Menurut Noh, kementerian itu juga bersedia memperuntukkan bajet bagi tujuan pembelian tapak pertanian selain pembinaan kawasan penempatan sejajar misi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan industri asas tani di negara ini.
Katanya lagi, sebagai permulaan Ladang Pengasih hanya melibatkan bekas penagih dadah yang sudah pulih dan bersedia memulakan hidup baru setelah menjalani rawatan di Rumah Pengasih.
Sementara itu, Yang Dipertua Pengasih, Yunus Pathi memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat lembaga pengurusan dalam tempoh terdekat untuk mengenal pasti lokasi bersesuaian termasuk tanah milik Pusat Serenti.
"Kami amat menghargai peluang oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan akan membuat persediaan rapi terlebih dahulu.
"Untuk makluman, projek penanaman pisang tanduk di Johor dijalankan oleh 20 bekas penagih dadah yang merupakan penghidap HIV. Projek pertanian ringan amat digalakkan untuk golongan ini," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan