HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 November 2010

Jalan raya jerlus semakin melebar risaukan 500 penduduk

KENINGAU KINI

PENSIANGAN: Kerisauan kira-kira 500 penduduk yang tinggal di kawasan terpencil Pensiangan, mengenai jalanraya jerlus ini pernah disiarkan diakhbar, namun kerana terlepas pandang – jerlusan yang pada awalnya sebesar satu kaki lilitan, membesar sehingga tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.

“Akibatnya penduduk terbeban, dan ia tidak sepatutnya berlaku,” jelas Jimmy Minggin.

Jalan raya itu merupakan satu-satunya nadi ratusan penduduk yang tinggal di lima perkampungan terpencil, yang didominasi oleh suku kaum Murut.

Jimmy yang merupakan pengerusi PIBG Kg. Simotuoh berkata, jalanraya yang pada asalnya dibina oleh syarikat pembalakan itu tidak pernah diselanggara, menyebabkan beberapa bahagian sering rosak atau jerlus disebabkan hakisan.

Difahamkan pentadbir Kg. Simotuoh telah beberapa kali mengajukan surat aduan mengenai kerosakan jalan itu kepada pihak berwajib, namun sehingga sekarang belum ada sebarang reaksi positif daripada jabatan berkenaan.

“Mereka terlepas pandang nasib yang sedang menimpa rakyat yang tinggal dipelusuk seperti kami,” jelasnya penduduk yang lain dan berkata, atau mungkinkah kewujudan penduduk di kawasan itu tidak tercatat dalam diari politik pemimpin.

Beberapa orang penduduk yang berjaya ditemui ketika rakaman gambar ini dilakukan meluahkan perasaan, mengenai situasi mereka yang begitu tertekan setiap kali melalui lokasi merbahaya itu.

“Jalanraya ini tambahan tekanan kepada rakyat miskin yang hidup di tengah-tengah hutan seperti kami,” luah seorang penduduk Kg. Simotuoh.

Tekanan itu turut dikongsi oleh kira-kira 12 orang guru yang bertugas di Sk. Simotuoh, selain murid-murid sekolah yang tinggal di bahagian seberang jalanraya itu.

Nasib yang sama turut dialami oleh penduduk yang menghidapi penyakit kritikal, kerana terpaksa digendong oleh saudara yang lain untuk melepasi laluan bahaya itu.

Bagi penduduk yang memiliki kenderaan, harta benda itu terpaksa ditinggalkan di seberang jalan, dan terpaksa berjalan kira-kira setengah kilometer untuk sampai di kampung masing-masing.

Kesukaran itu turut dikongsi oleh guru-guru yang menjadikan pengalaman basah kuyup ketika dibasahi hujan dalam perjalanan, merupakan catatan pahit golongan itu ketika bertugas di pelusuk pedalaman.

“Beginilah nasib kami di sini,” akui seorang guru yang enggan namanya dipetik.

Tiada ulasan: