HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 November 2010

Mustaffa dakwa masih sangsi, ulangi desakan pemilihan PKR dibatal

TERKINI

KUALA LUMPUR – Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub yang minggu lalu memberi kata dua agar parti menangguh dan mengadakan semula pemilihan pusat, hari ini mengulangi desakan yang sama atas alasan kepincangan dan kecacatan masih berterusan.

Mustaffa membuat desakan kali kedua ini ketika proses pengundian pemilihan pusat hanya tinggal dua hari lagi iaitu hujung minggu ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa perjalanan pemilihan beberapa hari yang lalu masih belum memuaskan. Unsur-unsur kelompongan yang paparkan dalam memorandum lalu masih berterusan.

“Pemilihan 2010 mestilah ditangguhkan dan dibatalkan, dan diadakan semula. Tindakan tegas JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) dan kepimpinan diperlukan. Ya, saya ulangi desakan saya minggu lalu,” jelas beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Beberapa aduan tambahan sedang dalam proses dan beberapa orang calon juga sedang memfailkan beberapa kes khusus untuk disiasat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyaatan dikeluarkan petang ini, Mustaffa berkata, “ingin ditegaskan bahawa saya meneruskan bertanding jawatan timbalan presiden dalam protes.”

“Dalam erti kata kita masih sangsi dengan perjalanan pemilihan yang ada, namun demi menyelamatkan perjuangan dan parti serta keadaan, saya meneruskan pertandingan,” katanya.

Mustaffa yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau tetap berpendirian yang juga mewakili sejumlah anggota yang signifikan bahawa pemilihan 2010 mestilah ditangguhkan bagi memberi masa segala aduan dan bantahan ditangani, proses penambahbaikan JPP, logistik dan semua persiapan pemilihan.

“Dalam masa yang sama mengambil tindakan tegas dalam membetulkan dakwaan dan tanggapan meluas campur tangan pimpinan tertentu memperalatkan JPP,” kata beliau.

Mustaffa menambah, tidak ada aibnya kepimpinan mendengar keluhan akar umbi dalam persoalan ini, malah rakyat Malaysia akan melihat betapa kepimpinan PKR benar-benar peka dengan sebarang permasalahan, bermula dengan pengendalian persoalan dalaman dan kemudiannya keluhan rakyat keseluruhannya.

“PKR sewajarnya benar-benar tampil mewakili aspirasi rakyat serta menawarkan model yang terbaik kepada rakyat Malaysia termasuk proses pemilihan parti yang demokratik dari segi konsep serta pelaksanaannya,” kata beliau lagi.

Empat hari selepas memberi kata dua 48 jam, pada Jumaat lalu Mustaffa mengumumkan beliau akan kekal dalam saingan jawatan timbalan presiden.

Termasuk Jumaat lalu PKR telah mengadakan lapan hari pengundian setakat Ahad lalu.

Mustaffa sebelum ini mengemukakan memorandum desakan itu atas alasan wujud kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.

Mustaffa membuat pengumuman itu sehari selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi JPP Dr Molly Cheah, yang menegaskan bahawa pemilihan pusat bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan daripada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.

Dr Cheah berkata pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

Selasa lalu, Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak berkata pembatalan dan perjalanan semula pemilihan di peringkat pusat adalah perlu kerana sehingga kini terdapat sebanyak 162 aduan telah dibuat terhadap kepincangan dan integriti JPP.

“Sememangnya saya amat memahami rintihan dan keluhan ahli dan kepimpinan akar umbi mengenai masalah yang berbangkit serta ketidakpuasan hati yang berlaku lantas mahu memboikot atau menarik diri dalam proses pemilihan atau memohon menangguhkan pemilihan parti.

“Namun demi kepentingan dan perjuangan parti jika pemilihan ini tetap diteruskan, saya akan kekal bertanding jawatan timbalan presiden walaupun dalam protes.

“Tindakan ini juga sebagai menghormati pandangan dan keyakinan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang menginginkan saya terus bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR,” kata Mustaffa.

Ketika itu Mustaffa mengajak semua ahli parti supaya bersama dengan beliau untuk terus mempertahankan maruah parti itu.

Perebutan jawatan timbalan presiden PKR kini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Mustaffa dan seorang lagi Naib Presiden PKR Azmin Ali selepas Zaid memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Malah Zaid juga melepaskan semua jawatan dalam parti dan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin keluar parti.

Berdasarkan keputusan diumumkan semalam, Naib Presiden PKR Azmin Ali sudah hampir pasti mengambil alih jawatan timbalan presiden dengan memperoleh majoriti 11,350 undi.

Azmin memperoleh 14,751 undi manakala pesaingnya Mustaffa menerima hanya 3,401 undi daripada 165 cabang yang telah dikira pengundian

Pemilihan pusat yang berlangsung pada 29 Oktober lepas dan akan berakhir 21 November ini melibatkan sebanyak 218 cabang. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 November di Dewan Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Tiada ulasan: