Mustaffa tetap menggesa agar pemilihan PKR dibatalkan. — gambar fail
KUALA LUMPUR — Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub sambil mengakui berhadapan dengan kekangan mendapatkan bukti secukupnya berkata, pihaknya akan mengemukakan sejumlah kecil keterangan tetapi yang “signifikan” kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), esok.
Mustaffa yang sebelum ini dua kali mendesak agar pemilihan parti dibatalkan dan proses pengundian diadakan semula menambah, meskipun tidak dapat membekalkan keseluruhan butiran yang diperlukan JPP berhubung dakwaannya wujud kepincangan dalam pemilihan pusat tetapi pihaknya sedang bekerja keras mendapatkan maklumat yang diperlukan.
“Kita sedang berusaha, esok saya ataupun beberapa wakil jawatankuasa saya akan menemui Dr Molly Cheah (Pengerusi JPP) esok,” kata beliau yang tetap dengan pendirian agar pemilihan pusat semasa dibatalkan.
Mustaffa juga mengakui bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci disebabkan ketiadaan sumber dan tenaga untuk memantau keseluruhan proses pemilihan.
“Kami bukan pasukan sepenuh masa... kami tidak menjangkakan perkara ini (kepincangan) ini akan berlaku, jadi kami tidak menyediakan pasukan untuk memantau keseluruhan proses.
“Oleh itu, kami berharap JPP menyiasat perkara-perkara yang dibangkitkan ini, sebab mereka ada jentera di seluruh cabang selain mempunyai dokumen-dokumen yang selengkapnya... apabila aduan dibuat, sepatutnya menjadi tanggungjawab JPP menyiasat,” kata beliau.
Mustaffa menegaskan ketika pertemuan esok akan menyerahkan beberapa bukti di mana wujud kecacatan dan manipulasi yang jelas.
“Masalah ini wujud di banyak tempat,” kata beliau yang naib presiden PKR.
“Misalnya keputusan membabitkan cabang Teluk Intan, keputusan yang direkodkan di peringkat cabang berbeza dengan keputusan yang didapati di pusat... ia melibatkan kira-kira 15 calon yang bertanding kerusi Majlis Pimpinan Pusat,” kata beliau.
Pengundian bagi pemilihan pusat di cabang Teluk Intan diadakan 13 November lalu.
Mustaffa bagaimanapun berkata, beliau tetap akan kekal dalam persaingan pemilihan pusat yang akan berakhir minggu ini.
“Saya akan kekal dalam saingan tetapi dalam keadaan protes,” kata beliau mengulangi pendiriannya sebelum ini.
Ketika dihubungi semalam, Dr Cheah berkata, JPP tidak akan menangguhkan ataupun membatalkan pemilihan pusat PKR yang menghampiri penghujungnya tetapi terus dipertikaikan integriti dan didakwa masih cacat, tetap akan diteruskan.
Sebaliknya, jawatankuasa itu mendakwa pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang bukti susulan dijanjikan oleh Mustaffa, yang petang kelmarin — buat kali kedua dalam seminggu ini — mendesak agar proses pengundian dibatalkan.
Dr Cheah menegaskan, pihaknya tidak akan membatalkan pemilihan dan baki sesi pengundian yang dijadual untuk diadakan hujung minggu ini.
“Pemilihan akan diteruskan melainkan keputusan sebaliknya dibuat,” kata beliau.
Dr Cheah berkata, Mustaffa yang menemui beliau minggu lalu telah berjanji akan menyediakan JPP dengan maklumat-maklumat tambahan yang diperlukan bagi memperkuatkan dakwaannya dalam memorandum terdahulu.
Kedua-dua mereka bertemu Khamis lalu berhubung memorandum kata dua 48 jam yang dihantar Mustaffa kepada parti meminta agar pemilihan ditangguhkan dan dibatalkan.
“Beliau (Mustaffa) menjanjikan mahu menyediakan JPP dengan butiran lanjut, sehingga kini beliau belum menghubungi saya, tidak memberikan apa-apa maklumat sebagaimana dijanjikan... saya masih menunggu,” kata Dr Cheah.
Mustaffa membuat desakan kali kedua ini ketika proses pengundian pemilihan pusat hanya tinggal dua hari lagi iaitu hujung minggu ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa perjalanan pemilihan beberapa hari yang lalu masih belum memuaskan. Unsur-unsur kelompongan yang paparkan dalam memorandum lalu masih berterusan.
“Pemilihan 2010 mestilah ditangguhkan dan dibatalkan, dan diadakan semula. Tindakan tegas JPP dan kepimpinan diperlukan. Ya, saya ulangi desakan saya minggu lalu,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan