HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 November 2010

Sime Darby fail saman sivil akhir tahun ini

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Sime Darby akan mengambil tindakan saman sivil ekoran siasatan dalaman berhubung peningkatan kos yang membawa kepada kerugian kepada konglomerat itu baru-baru ini, kata Pengerusinya Tun Musa Hitam hari ini.

“Penemuan audit forensik tidak akan diumumkan hari ini disebabkan siasatan (diteruskan) oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Musa dipetik Reuters.

Sebelum ini Sime Darby berkata ia akan memulakan tindakan perundangan di mana difikirkan perlu dan laporan akan dibuat kepada pihak-pihak berkuasa berkaitan, dalam usaha melakukan pembaharuan ke atas unit-unit bermasalah.

Pagi tadi, The Malaysian Insider melaporkan pihak berkuasa sudah memulakan siasatan ke atas Sime Darby Berhad selepas menerima laporan audit forensik berhubung kerugian lebih RM2.1 bilion dalam unit pelaburan tenaga dan utiliti sementara konglomerat bermasalah ini mengadakan mesyuarat lembaga tahunan hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan SPRM dan SC telah menerima laporan audit forensik baru-baru ini selepas Sime Darby merekodkan kerugian RM2.1 bilion, jumlah paling tinggi bagi mana-mana konglomerat di Malaysia.

Laporan audit forensik itu sepatutnya dikeluarkan September lalu, tetapi lembaga memutuskan untuk merahsiakan dulu sebelum dipanjangkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan meneliti kemungkinan tindakan ke atas bekas pegawai-pegawai kanan syarikat itu.

Difahamkan mesyuarat lembaga hari ini akan membutirkan lebih banyak maklumat daripada laporan audit forensik itu.

Syarikat berkaitan kerajaan ini mencatatkan keuntungan bersih RM726 juta bagi 2010 walaupun dilaporkan mengalami rugi selepas cukai dan kepentingan minoriti melibatkan RM77.4 juta pada suku keempat.

Sime Darby memperolehi keuntungan bersih RM1 bilion dalam suku keempat tahun lepas dan keuntungan bersih RM2.3 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2009.

Bahagian Tenaga dan Utiliti mencatatkan kerugian operasi RM1.7 bilion bagi tahun 2010 selepas menerima peruntukan tambahan RM777.3 juta bagi suku keempat.

Kali terakhir Sime Darby menyaksikan kerugian besar adalah ketika era krisis kewangan Asia 1997 apabila pasaran saham jatuh menjunam.

Pada 5 Ogos lalu, The Malaysian Insider difahamkan bahawa konglomerat itu akan mengumumkan kemungkinan kerugian mencecah angka RM2 bilion dan boleh meningkat sehingga RM2.5 bilion ekoran kelemahan pelaburan dalam sektor tenaga dan utiliti di Qatar dan juga ekoran amalan bisnes yang lemah dalam projek pembangunan empangan Bakun di Sarawak.

Tiada ulasan: