Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Menurut laporan itu, sementara panel inkuiri menyedari tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keselamatan negara, tetapi segala aktiviti pihak berkuasa haruslah mengambil kira hak-hak individu dan memastikan hak-hak yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-ndang negara dapat diamalkan oleh individu-individu ini.
"Pegawai dan anggota PDRM yang melakukan tugas rasmi haruslah menggunakan pengenalan diri seperti tanda nama dan nombor badan sepanjang tempoh rasmi tugasan.
"Ini akan memudahkan proses pengenalan diri dan juga proses untuk cam dijalankan sekiranya terdapat dakwaan terhadap mana-mana pegawai dan anggota PDRM," kata laporan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2012.
Panel inkuiri dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee manakala anggotanya terdiri daripada Prof Emeritus Datuk Dr Mhamood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.
Inkuiri diadakan susulan perhimpunan Berish 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan terhadap tuntutan yang dibuat oleh Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil supaya pilihan raya dijalankan secara adil dan bebas.
Sebelum perhimpunan berkenaan diadakan, kerajaan telah mengisytiharkan pergerakan tersebut sebagai sebuah entiti yang tidak sah dan pelbagai langkah pencegahan telah diambil oleh PDRM termasuk melakukan tangkapan terhadap individu-individu yang mempunyai kaitan dengan pergerakan berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri dan PDRM juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang menyebut bahawa perhimpunan tersebut tidak sah kerana tidak mendapat permit di bawah Seksyen 27, Akta Polis 1964.
Laporan itu juga berkata, panel inkuiri berpendapat bahawa anggota-anggota yang melakukan tangkapan harus lebih berhati-hati dan mengelakkan dari menggunakan kekerasan sekiranya tidak diperlukan.
"Penggunaan kekerasan haruslah bertepatan dan berkadar dengan tahap bahaya situasi semasa tangkapan.
"Sebagai penguat kuasa undang-undang dan menerima latihan secara khusus, PDRM haruslah menunjukkan sikap professional yang tinggi dan mampu menerima tekanan di dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan dengan penugasan mereka," kata laporan itu sambil menambah, dalam konteks ini, latihan dan penilaian berterusan haruslah diadakan oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Tindakan disiplin ataupun undang-undang haruslah dikenakan terhadap mana-mana Pegawai ataupun anggota yang melakukan atau menyebabkan kecederaan terhadap ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah," kata laporan itu di bahagian syor, yang dibahagikan kepada syor berkaitan dengan media dan perhimpunan awam.
Laporan itu mengesyorkan agar rawatan segera diberikan kepada individu-individu yang cedera semasa proses penahanan dibuat.
"Kakitangan perubatan haruslah ditempatkan di lokasi untuk melakukan penilaian perubatan dan memberi rawatan di lokasi.
"Untuk kecederaan yang serius, individu yang ditahan seharusnya dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum pemprosesan penahanan dilakukan oleh PDRM," kata laporan panel inkuiri itu setebal 39 halaman.
Laporan itu juga berkata, panel berpendapat bahawa walaupun PDRM mempunyai kuasa dan sebab yang sah di sisi undang-undang untuk melakukan tangkapan, cara yang digunakan untuk melaksanakan penahanan terhadap mana-mana individu haruslah bersesuaian dengan kesalahan.
"Prinsip hak asasi dan keselamatan terhadap anggota mahupun individu yang hendak ditahan haruslah diutamakan dimana satu garis panduan haruslah diwujudkan oleh PDRM mengenai cara-cara yang boleh digunakan oleh anggota-anggota PDRM di dalam melakukan tangkapan.
"Pegawai yang bertanggungjawab haruslah memastikan bahawa setiap unit yang menjalankan tugas di mana-mana kawasan haruslah diberikan taklimat yang menyeluruh terutamanya berkenaan tempat-tempat kepentingan awam dan sebarang tindakan yang diambil haruslah mengambil kira tempat-tempat ini," katanya.
Ia menambah, panel menyedari struktur dan hiraki PDRM - mana-mana pegawai atasan boleh memberi arahan kepada pegawai bawahan; tetapi untuk mengelakkan percanggahan arahan dan ketelusan arahan yang diberikan, panel mengesyorkan supaya arahan hanya boleh diberikan oleh Pegawai Medan dan sekiranya tugas ini diberikan kepada mana-mana pegawai lain, ia haruslah dilakukan secara rasmi dan mengikut prosedur yang diamalkan oleh PDRM.
Syor-syor lain berkaitan perhimpunan ialah:
- Penggunaan sebarang alat terutamanya yang diklasifikasikan sebagai senjata yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan seharusnya tidak dibenarkan, di dalam mahupun di sekitar kawasan berkepentingan awam seperti hospital dan sekolah.
- Walaupun terdapat bukti beberapa peserta perhimpunan menyerbu ke arah pihak PDRM, panel berpendapat bahawa cara yang digunakan untuk menyuraikan peserta di kawasan KL Sentral tidak bersesuaian kerana faktor lokasi dan keadaan kawasan tersebut. Cara penyuraian yang digunakan oleh PDRM haruslah bersesuaian dengan risiko keselamatan terhadap peserta, orang ramai yang kebetulan berada di lokasi berkenaan mahupun kepada anggota PDRM sendiri.
- Penggunaan gas pemedih mata atau sebarang cara lain untuk menyuraikan peserta yang boleh menyebabkan atau meningkatkan risiko kecederaan di kawasan yang tertutup seharusnya tidak dibenarkan.
- PDRM haruslah memastikan bahawa setiap unit yang bertugas di kawasan yang sama berkomunikasi dan setiap tindakan oleh unit yang lain diketahui oleh unit yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan