Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media, yang dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguat kuasa.
Katanya, penggunaaan kekasaran yang tidak seimbang sepatutnya tidak berlaku ketika perhimpunan.
"Tindakan pihak polis tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara profesional bagi memudahkan perhimpunan awam," katanya lagi.
Kata beliau, pihaknya sedia maklum akan kelakuan dan tingkah laku peserta semasa perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.
"Namun pihak Suhakam berulang kali menyeru agar pihak berkuasa dapat menggunakan cara yang sesuai bagi mengawal atau menyuraikan orang ramai tanpa menggunakan kekasaran," katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu sejajar dengan Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai penggunaan kekerasan dan senjata api oleh penguat kuasa undang-undang, juga menyediakan pegawai penguat kuasa undang-undang seboleh mungkin menggunakan cara yang bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk menggunakan kekerasan.
"Walaupun Suhakam menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan diadakan, namun tawaran tersebut telah ditolak," katanya.
Hasmy berkata, beliau juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minimum.
Justeru kata beliau, Suhakam juga ingin mengulangi pendiriannya bahawa keamanan dan kestabilan adalah prinsip utama serta ketenteraman awam harus dikekalkan setiap masa, namun orang ramai juga berhak untuk menyuarakan perasaan dan pendapat mengenai isu yang menjadi kebimbangan masyarakat kini.
Oleh yang demikian, katanya, dalam usaha mencapai demokrasi sepenuhnya, Suhakam menggesa semua pihak melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan dihormati.
Sehubungan itu, Hasmy juga berkata, Suhakam mahu pihak media dan pihak berkuasa yang berkaitan yang menyaksikan sebarang insiden semasa perhimpunan berkenaan mengemukakan maklumat, dokumen dan bukti yang berkaitan kepada Suhakam untuk siasatan bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan