HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Mei 2012

Buku Irshad Manji: Penerbit mahu rayu keputusan KDN

Wartawan Sinar Harian

Irshad Manji
 
Kulit buku Irshad Manji
 
 
SHAH ALAM - ZI Publications Sdn Bhd mahu membuat rayuan berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan versi Bahasa Inggeris 'Allah, Liberty and Love'.

Pihak berkuasa mengharamkan buku itu kerana ia mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.

"Merujuk kepada satu keputusan 2010 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perintah Kementerian Dalam Negeri mengharamkan sebuah buku, ZI Publications akan mengambil tindakan ke arah mengemukakan rayuan ke atas keputusan Kementerian Dalam Negeri memandangkan keputusan mereka boleh disemak semula oleh mahkamah," kata Pengarah dan Pemilik ZI Publications, Ezra Zaid dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Dalam pada itu, Irshad pula berkata, arahan pengharaman bukunya bukan hanya mengecewakan tetapi suatu penghinaan kepada generasi baru rakyat Malaysia.

Katanya, penapisan tersebut menjadikan warga Malaysia seperti kanak-kanak dan penapisan ini juga menafikan kehendak bebas manusia untuk berfikir sendiri.

"Ironinya ialah buku ini membincangkan hal yang berkaitan dengan keimanan. Ia memberi kuasa kepada pembaca untuk mendamaikan ALLAH dengan kebebasan, seraya menunjukkan umat Islam mampu menjadi pemikir yang bebas dan orang-orang yang beriman ketika mendalami Tuhan yang Maha Penyayang," kata beliau dalam kenyataan berasingan.

Kata beliau, "kita sepatutnya bebas untuk tidak bersetuju, berbalah, malah memprotes idea."

Bagaimanapun katanya, untuk melarang orang lain daripada menyatakan sesuatu adalah satu tanda pasti kepada perasaan yang tidak yakin kepada diri sendiri.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya 'boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.'

Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), katanya.

Tiada ulasan: