HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Mei 2012

‘Kaji semula gaji minimum di Sabah, S’wak’

 
Cuepacs berpendapat gaji minimum di Malaysia Timur sepatutnya lebih tinggi dari Semenanjung memandangkan kos sara hidup yang lebih tinggi.




KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dengan lantang hari ini meminta kerajaan mengkaji semula gaji minimum yang baru ditetapkan kepada sektor swasta di Sabah dan Sarawak minggu lalu.

Ini adalah berikutan ramai pekerja khasnya swasta berpendapat bahawa gaji berkenaan masih lagi tidak memuaskan, berbanding di Semenanjung Malaysia yang ditetapkan pada kadar RM900 sebulan.

“Secara dasarnya Cuepacs menyambut baik dasar gaji minimum itu iaitu RM800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak manakala RM900 (di Semenanjung Malaysia).

“Bagaimanapun, kita agak terkilan kerana gaji minimum yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak jauh lebih kecil berbanding di Semenanjung, sedangkan pekerja di sini lebih terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi,” kata Ahmad Malie selaku Setiausaha Cuepacs Sarawak.

Menurutnya, gaji minimum di kedua-dua negeri itu sepatutnya lebih besar kerana pekerja terdedah dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Jika di Semenanjung ia ditetapkan pada kadar RM900, maka gaji minimum di Sabah dan Sarawak sepatutnya ditetapkan pada paras RM1,000. Itu pandangan Cuepacs,” katanya.

Terdahulu, beliau yakin dan percaya bahawa dasar tersebut boleh digunakan sebagai garis panduan kepada majikan dalam menetapka gaji pekerja mereka.

Di samping itu, ia dapat mengelak majikan menetapkan gaji pekerja sesuka hati mereka, katanya lagi.

“Dengan pengumuman dasar ini ia secara jelas membuktikan bahawa kerajaan amat prihatian dengan pendapatan rakyatnya terutama yang bekerja dengan pihak swasta,” tegas Ahmad yang juga Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).

Tiada ulasan: