Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said menyifatkan pembangkang sengaja mempolitikkan isu PTPTN hanya untuk meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurutnya, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli memberikan maklumat salah mengenai PTPTN dalam debat dianjurkan Sinar Harian, malam kelmarin.
“Saya tidak tahu dari mana beliau mendapatkan angka-angka mengenai PTPTN dan mendedahkannya kepada umum dalam debat itu. Beliau perlu faham, komitmen dimeterai pelajar dan PTPTN tidak sama kerana tempoh pengajian mereka berbeza-beza.
“Ada yang empat tahun dan ada yang tiga tahun menghabiskan pengajian mereka.
Saya lihat pemimpin pembangkang lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memainkan isu PTPTN yang menyatakan ia menekan pelajar.
PTPTN diperkenalkan setelah diluluskan di Kabinet pada 2007 untuk membantu pelajar tercicir dan mempunyai masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang perlu faham jumlah pembayaran balik akan berkurangan dan kutipan akan menjadi sedikit berbanding pengeluaran dilakukan PTPTN kerana berbeza tempoh pengajian dan kelonggaran penangguhan pembayaran diberikan. “Sehingga 30 April 2012, PTPTN menyediakan peruntukan sebanyak RM44.01 bilion untuk diberikan kepada seramai 1.9 juta peminjam dan pembayaran yang diterima ialah RM6.07 bilion melibatkan 1,021544 peminjam.
“PTPTN memberikan kelonggaran penangguhan kepada 31,493 peminjam yang mempunyai kesulitan untuk membayar. Jumlah sebenar tanpa penangguhan ialah 1,053037 peminjam melibatkan RM6.96 bilion,” katanya.
Ismail berkata, PTPTN juga menghantar notis kepada peminjam PTPTN, tetapi tidak menerima maklum balas daripada 258,056 peminjam melibatkan RM1.69 bilion.
“Sehingga kini, tunggakan belum dibayar ialah RM3.46 bilion.
"Kebanyakan mereka membayar tidak mengikut perjanjian kerana tidak mampu. “Bagaimanapun, peratus perlu dibayar 74.74 peratus dan hanya 48.31 peratus yang berjaya dikutip,” katanya.
Ditanya mengenai peminjam disenaraihitamkan, Ismail menegaskan mereka boleh datang ke PTPTN untuk berbincang.
Beliau berkata, sehingga 30 April 2012, jumlah nama disenaraihitamkan ialah 132,801 peminjam yang melibatkan RM2.11 bilion.
“Parti pembangkang mendakwa pelajar tersekat kehidupan sosial mereka dan mengalami tekanan kerana tidak berjaya menyelesaikan hutang PTPTN.
"Sebenarnya, pelajar disenaraihitam boleh dikeluarkan semula apabila mereka datang berjumpa PTPTN menyelesaikan hutang mengikut kemampuan mereka membayar setiap bulan.
“Pembangkang cuba mengelirukan orang ramai, sedangkan peminjam PTPTN disenaraihitamkan di Imigresen sahaja tidak melibatkan institusi lain,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, jumlah disenaraihitamkan adalah 26,119 peminjam telah berjumpa berbincang dan PTPTN menerima pembayaran balik sebanyak RM183.67 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan