Oleh Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA: Naib Pengerusi KEADILAN Lembah Pantai, S Pathavachalam dan ahli keluarganya menerima ugutan bunuh selepas membantah isu tapak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang dianugerahkan kepada syarikat kroni Umno.
Menurutnya, ugutan itu diterima daripada seorang lelaki misteri bernama Sudukaatu Ravi pada jam 12.30 tengahari, 16 Ogos lalu.
“Dia mengugut untuk memotong saya dan keluarga selain mengugut mahu menghantar peti keranda ke rumah saya pada malam tersebut.
“Saya percaya ugutan ini selepas saya mempertikaikan isu tanah IPD Brickfieds ketika dialog dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 14 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.
Pathavachalam yang juga Pengerusi Little India Action Commitee (Liac) berkata, lelaki tersebut menghubunginya sekali lagi pada jam 8.30 malam pada hari yang sama dan mengugutnya supaya tidak membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut.
Kata Pathavachalam, jika ingkar, nyawa beliau dan keluarganya akan terancam kerana lelaki terbabit mendakwa telah mengupah RM10,000 kepada pembunuh upahan.
“Lelaki terbabit berkata, laporan polis adalah sia-sia kerana polis dan kerajaan adalah miliknya. Dia suruh saya menghantar seseorang yang boleh berunding (table talk) berkenaan isu IPD Brickfields,” katanya.
Isu bekas tapak IPD Brickfields mula menjadi perhatian selepas KEADILAN mendedahkan statusnya ditukar daripada tanah institusi kepada tanah pembangunan komersial dan dijual kepada syarikat kroni Umno.
KEADILAN turut mempertikaikan tindakan Umno BN memindahkan balai polis itu ke Daerah Seri Pataling sedangkan Brickfields sepatutnya mempunyai sebuah balai polis kerana jumlah penduduk yang padat dan kekerapan berlaku jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan