HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Ogos 2012

Anwar: Saya yakin PR tawan Putrajaya, jika tidak akan bersara

Wartawan Sinar Harian

Anwar Ibrahim
Paparan skrin sesi Borak Bersama Anwar
 
SHAH ALAM - Dengan perkembangan di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinannya Pakatan Rakyat (PR) akan melangkah ke Putrajaya dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan pada masa yang sama, kekal dengan janji bahawa akan berundur jika keadaan sebaliknya berlaku.

"Saya ikhtiar sedaya upaya, saya yakin boleh menang (menawan Putrajaya), tetapi andai kata tidak, saya akan berundur," kata beliau menjawab soalan seorang peminat pada sesi Google Hangout -  "Borak Bersama Anwar, malam tadi.

"Kita bertawakal, (jika) saya tidak dapat mandat, maka (seperti yang) saya sudah umum, wajar kita beri ruang kepada barisan kedua dalam kepimpinan Keadilan (PKR), DAP dan Pas yang menunjukkan ada anak-anak muda yang lebih matang, lebih berwibawa... mereka boleh meneruskan," kata Anwar yang juga Ketua Umum PR.

Beliau ditanya berapa peratus keyakinan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU13.

"Saya pertamanya yakin, kita ikhtiar, ambil keputusan dan azam... itu keyakinan kita. Keyakinan ini berdasarkan pada pemerhatian kita, perubahan dan kesedaran rakyat yang menyeluruh termasuk Sabah dan Sarawak, dan perkembangan Sabah yang cukup meyakinkan mutakhir ini. Kita serah kepada rakyat," katanya.

PR dianggotai DAP, Pas dan PKR dan ditubuhkan secara formal selepas keputusan PRU12. Anwar dilantik sebagai ketua umumnya dan akan mengetuai perikatan itu, kali pertama sebagai ketuanya, menghadapi PRU13 yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ketiga-tiga parti itu akan turun gelanggang PRU13 atas persefahaman platform PR, yang masih belum didaftarkan sebagai entiti rasmi.

Rakaman sesi itu dimuat naik di laman YouTube.

Walaupun yakin boleh membentuk Kerajaan Pusat, Anwar berkata, beliau menyerah kepada rakyat membuat keputusan.

"Kita serah kepada rakyat, rakyat akan putuskan. Saya yakin kali ini dapat tawan Putrajaya dan Datuk Seri Najib (Tun Razak) akan beralih sebagai Ketua Pembangkang Parlimen... kita akan tengok bagaimana prestasi dia sebagai Ketua Pembangkang," katanya lagi.

Tiada ulasan: