HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Ogos 2012

Kaji semula program cegah jenayah

Wartawan Sinar Harian

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
 
PETALING JAYA - Beberapa program yang menyasarkan penurunan kadar jenayah akan diperkasa melalui kajian semula terhadap keberkesanan inisiatif itu yang bermula bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kajian semula terhadap program Rakan Cop, MyDistress, Talian Nur, Rukun Tetangga, dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu dicadang supaya penambahbaikan dapat dibuat bagi memenuhi matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah.        

“Saya minta program itu dikaji dan Insya-Allah selepas Aidilfitri kita akan berbincang untuk menentukan program mana yang boleh diperhebat dan diperluaskan lagi.

“Kajian ini bagi membolehkan kementerian mengenal pasti program mana yang betul-betul berkesan dalam mengurangkan jenayah,   kita juga nak tahu sebab ia tidak berkesan,” katanya kepada media selepas Kempen Rumah Selamat peringkat Petaling Jaya sempena sambutan Aidilfitri, semalam.

Hishammuddin berkata, keberkesanan Op Selamat yang menggantikan Ops Sikap sempena musim perayaan juga akan dibincangkan ketika itu sama ada perlu ditambah baik untuk pelaksanaannya.

Berhubung keselamatan penduduk ketika pulang berhari raya katanya, pangkalan data akan diwujudkan bagi menyimpan rekod hasil maklumat yang diisi melalui Borang Maklumat Balik Kampung yang disediakan polis.

Beliau, yang turut mengedarkan 2,000 borang berkenaan pada majlis itu, menggesa orang ramai mengisi setiap maklumat yang diperlukan sebelum diserahkan kepada balai polis berhampiran bagi tujuan rondaan cegah jenayah sepanjang mereka tinggalkan rumah di musim perayaan.

“Kita perlu simpan rekod ini supaya pangkalan data sedia ada dapat digunakan ketika orang ramai pulang bercuti ke kampung, umpamanya ketika menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali,” katanya.

Hishammuddin berkata, kerajaan sedia menambah bilangan anggota polis bagi mengimbangi nisbah penduduk, namun perkara itu memerlukan perbincangan terperinci.

1 ulasan:

awetunggal berkata...

tiada program lain yang lebih berkesan selain dari memberi ic kepada pendatang asing.....!