MALAYSIA KINI
Ibu
kota yang lengang sempena cuti umum hari raya menjadi tumpuan warga
asing yang datang dari luar Kuala Lumpur untuk bertemu rakan, dan pada
masa yang sama menyumbang kepada longgokan sampah.Tinjauan Bernama di sekitar Pasar Seni dan Kompleks Kota Raya mendapati keadaan di lokasi tumpuan warga asing sepanjang tiga hari lepas itu, amat kotor dengan longgokan sampah memenuhi laluan pejalan kaki hingga menyukar pergerakan orang ramai.
Pemilik gerai makanan Siti Salmah Ahmad, 41, berkata beliau terpaksa membersihkan sendiri kawasan tempat beliau berniaga berhampiran Stesen LRT Pasar Seni disebabkan sikap tidak bertanggungjawab warga asing terbabit.
"Ada tong sampah dah penuh, kami yang berniaga di sini pun terpaksalah membersihkannya kerana beberapa hari ini tiada petugas yang datang membersihkan kawasan yang kotor itu.
"Daripada pemerhatian kami kebanyakan yang membuang sampah merata adalah warga asing yang beratur panjang menaiki bas di sini sejak hari raya pertama lagi," katanya ketika ditemui Bernama.
Penjual tiket bas, Hamid Ahmad Zain, 37, berkata longgokan sampah yang ditinggalkan warga asing di kawasan Hentian Bas Pasar Seni mengundang lalat yang banyak sehingga mengganggu pelanggan lain.
"Sesetengah kawasan terutamanya berdekatan dengan tong sampah mengeluarkan bau yang busuk menyebabkan ramai pelanggan saya mengadu kerja-kerja pembersihan tidak dilakukan oleh petugas pembersihan," katanya.
Masalah itu turut dikongsi pelancong asing yang kecewa kerana tahap kebersihan semasa musim perayaan yang jauh merosot berbanding hari-hari biasa.
Alexander Pone, 22, dari Rusia, berkata keadaan kebersihan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di sekitar kompleks membeli-belah, sangat mengecewakan kerana ada pelancong asing sendiri yang membuang sampah sesuka hati.
"Mereka buang sampah merata-rata tempat walaupun banyak tong sampah disediakan dan saya tidak nampak tukang sapu sejak beberapa hari ini," katanya.
Sementara itu, Penyelia Alam Flora Sdn Bhd bagi kawasan Pasar Seni, Hamid Hattan berkata sebanyak 21 pekerja kontrak ditugaskan untuk membersihkan kawasan sekitar Pasar Seni bermula hari raya pertama.
"Seramai lapan orang ditugaskan pada sesi pagi iaitu dari 6 pagi hingga 1 petang, lima orang bertugas pada pukul 2 petang hingga 5 petang dan lapan orang bertugas pada pukul 6 petang hingga 5 pagi keesokkan harinya," katanya ketika dihubungi Bernama, di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun katanya, kebanjiran warga asing yang terlalu ramai menyebabkan kerja pembersihan yang dilakukan tidak memadai.
"Biasanya pekerja melakukan tugas-tugas pembersihan setiap hari dan keadaan sampah-sarap tidak seteruk seperti hari ini dan semalam.
"Meskipun kami telah pun mengarahkan pekerja kontrak untuk kerja-kerja pembersihan, namun sikap warga asing yang datang melepak dan menaiki kenderaan awam di sana begitu tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata biarpun tong sampah disediakan," katanya dengan nada kesal.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan