Oleh : V. SANKARA SUBRAMANIAM
|
SHAH
ALAM : Seorang ahli akademik menggesa Unit Perancang Ekonomi menyemak
semula garis panduan berhubung takrif kemiskinan agar ia lebih
mencerminkan realiti semasa.
Datuk Dr Denison
Jayasooria (gambar), Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik,
Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata garis kemiskinan yang lebih
realistik perlu diwujudkan untuk membolehkan kerajaan menggubal dasar
serta program lebih berkesan untuk menangani masalah berkaitan
kemiskinan.
"Kemiskinan
perlu ditakrifkan semula dan ukuran berbeza perlu digunakan untuk
mengetahui keadaan sebenar yang wujud dalam kalangan mereka di peringkat
paling bawah daripada segi sosioekonomi," katanya dalam temu bual
dengan Bernama.
Kini,
garis kemiskinan kebangsaan adalah berdasarkan pendapatan bulanan
minimum isi rumah sebanyak RM760 di Semenanjung Malaysia, RM1,050 di
Sabah dan RM910 di Sarawak.
Denison
berkata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan ukuran pendapatan perlu
diubah agar ia menjurus ke arah menggunakan pendekatan pelbagai dimensi
apabila mengambil kira faktor seperti keperluan dan hak asasi manusia
serta kualiti kehidupan.
Katanya
tumpuan perlu diberi terhadap usaha menangani kemiskinan bandar, yang
diburukkan lagi oleh pelbagai isu yang belum selesai seperti kemudahan
awam dan rumah pangsa kos rendah yang belum mencukupi.
"Langkah
segera perlu diambil untuk menangani kemiskinan bandar dan kawasan
kediaman golongan berpendapatan rendah dengan menggunakan kaedah yang
melibatkan pelbagai agensi, pelbagai disiplin dan pasukan penyampaian
pelbagai etnik," katanya.
Denison,
yang juga setiausaha agung Proham, sebuah kumpulan hak asasi manusia,
bagaimanapun berkata Malaysia mempunyai rancangan pembangunan makro yang
baik dan memberi keutamaan terhadap agihan pertumbuhan secara
menyeluruh.
Sementara
itu, Ketua Pusat Keusahawanan Sosial Binary University, Prof Sulochana
Nair, berkata walaupun kemiskinan dalam erti kata sebenar berjaya
dikurangkan, tetapi ketidaksamarataan pendapatan meningkat dengan ketara
dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di negara ini dan sekali gus,
melebarkan jurang ketidaksamarataan antara masyarakat bandar dan luar
bandar.
"Peningkatan
ketidaksamarataan dalam konteks inflasi dan jenayah memberi kesan
negatif terhadap 40 peratus golongan yang berada di tangga paling bawah
sosioekonomi, yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan di kawasan
bandar.
"Mereka ini adalah golongan miskin bandar yang tinggal di rumah pangsa kos rendah yang menjulang tinggi di pusat bandar.
"Oleh
itu, dasar yang perlu dilaksanakan Malaysia sekarang mestilah yang
bermatlamat untuk mewujudkan kesamarataan daripada segi peluang, bukan
keesamarataan daripada segi pendapatan," kata bekas Ketua Pusat Kajian
Kemiskinan dan Pembangunan, Universiti Malaya ini. (Bernama)
|

Tiada ulasan:
Catat Ulasan