HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 September 2012

Azalina bidas NGO, cabar Salahuddin debat isu Pengerang


KUALA LUMPUR— Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman hari ini membidas kenyataan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang mengatakan nilai pampasan terhadap pengambilan tanah penduduk kampung di Pengerang hanya bernilai RM2.80, sedangkan harga sebenar adalah RM8 sekaki persegi.

Ketua Umno Bahagian Pengerang itu juga turut membidas kenyataan NGO dari Pengerang yang mengatakan kawasan pembangunan projek Komples Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) akan memberikan kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan sumber mata pencarian ekonomi penduduk.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman mencabar Salahuddin berdebat pasal isu ini di mana-mana sahaja. — Gambar file
“Itu semua dakwaan rambang dan rumusan secara menyeluruh. Harga pampasan tanah RM2.80 adalah untuk kawasan tanah yang jauh dari jalan utama, sedangkan kerajaan menilai bukan setakat tanah, tapi turut menilai bangunan, termasuk tanaman di atas tanah tersebut.

“Setakat ini jumlah tertinggi yang diberikan adalah RM8 sekaki persegi,” tegas Azalina ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan taklimat Johor Petroleum Developement Corporation (JPDC), fasa pertama untuk pemindahan penduduk di 10 kampung tradisi di Pengerang telah menyasikan 179 borang H diserahkan tanpa sebarang bantahan.

“Fasa pertama dah panggil sebanyak 179 borang H, daripada jumlah itu, 70 menerima tanpa bantahan, dan 109 menerima dengan syarat.

“Tiada yang menolak,” tegas Azalina membidas Salahuddin yang mengatakan ada penduduk yang menolak pengambilan tanah tersebut.

Jelasnya lagi, lokasi kampung itu dipilih kerana ia merupakan laluan utama kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan itu untuk ke China.

“Ia kawasan laluan beratus kapal dagang, perkara ini sudah 10 hingga 15 tahun berlaku. Bercakap tentang pencemaran, kawasan itu bukan tumpuan pelancongan.

“Kawasan pelancongan di sebelah bahagian Desaru dan Sebana,” katanya lagi dan menyelar Salahuddin yang dakwanya menggunakan isu Pengerang semata-mata kepentingan politik dan pilihan raya.

Justeru, beliau turut mempersoalkan keihklasan pembangkang kerana sengaja menganjurkan perhimpunan pada Ahad depan untuk tujuan politik.

“Di mana keikhlasan pembangkang? Himpunan ini berbaur politik dan tidak ikhlas. Apa guna buat himpunan kalau ia banyak orang luar,  dan pengundi saya belum tentu hadir.”

Sehubungan itu juga, Azalina turut mencabar Salahuddin untuk berdebat berhubung isu itu.

“Saya cabar Salahuddin Ayub berdebat pasal isu ini di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, sebelum pilihan raya ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: