HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 September 2012

Salahuddin: Saya mahu debat dengan MB Johor, bukan Azalina


KUALA LUMPUR — Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menegaskan beliau hanya akan berdebat berkenaan isu di Pangerang dengan menteri besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, dan bukan Datuk Seri Azalina Othman.

Jelas Salahuddin, debat antara beliau dan Azalina yang merupakan ahli Parlimen Pengerang tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap nasib penduduk Pengerang kerana kuasa berhubung tanah terletak di bawah kuasa MB.

“Saya hanya akan berdebat dengan MB Johor. Itu boleh beri kesan kepada nasib penduduk.

“Azalina biar beliau berdebat dengan pengerusi Himpunan Hijau Lestari, Anis Afida Mohd Azli,” kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi kepada pemberita hari ini.

Azalina dalam sidang media di Parlimen hari ini mencabar Salahuddin untuk berdebat berhubung isu pembangunan projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

“Saya cabar Salahuddin Ayub berdebat pasal isu ini di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, sebelum pilihan raya ini,” kata Azalina yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Pengerang.

Azalina turut  menyelar Salahuddin yang dakwanya menggunakan isu Pengerang semata-mata kepentingan politik dan pilihan raya.

Justeru beliau turut mempersoalkan keihklasan pembangkang kerana sengaja menganjurkan perhimpunan pada Ahad depan untuk tujuan politik.

“Di mana keikhlasan pembangkang? Himpunan ini berbaur politik dan tidak ikhlas.

“Apa guna buat himpunan kalau ia banyak orang luar,  dan pengundi saya belum tentu hadir,” katanya merujuk kepada Himpunan Hijau Lestari Pengerang yang dijadualkan berlangsung pada 30 September, Ahad depan.

Salahuddin juga turut berkata, beliau sangat bersedia untuk berdebat dengan Ghani atas isu berkenaan, kerana ia perlu diselesaikan dengan tindakan yang lebih relevan.

“Saya sangat bersedia berdebat dengan MB Johor atas isu itu. Ia perlu diselesaikan dengan tidakan yang lebih relevan dan lebih berkuasa atas isu tanah.

“Kalau boleh biar disiarkan secara langsung di Astro, RTM1, RTM2, dan TV3,” katanya lagi.

Tiada ulasan: