HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 September 2012

PKR: Pakatan mahu tukar kerajaan bukan bendera

NUR FARHANA ABDUL MANAN

 PKR: Pakatan mahu tukar kerajaan bukan bendera
Shuhaimi melayan tetamu pada Majlis Rumah Terbukan anjuran bahagian Dewan Undangan Negeri Seri Muda di Putra Heights, semalam.
 
SUBANG JAYA – “Yang menjadi dasar Pakatan Rakyat (PR) bukanlah hendak tukar bendera tetapi mahu gantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan pimpinan PR.” Demikian tegas Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa individu yang membawa ‘bendera baru’ kononnya tidak bersetuju dengan Jalur Gemilang sedia ada pada ambang Hari Merdeka di Dataran Merdeka malam kelmarin.

Shuhaimi berkata, sekiranya wujud cadangan menukar bendera sedia ada, pihaknya adalah antara yang terawal akan menentang usaha itu.

Katanya, memang tidak ada sebarang perbincangan berhubung dakwaan terbabit dan menegaskan ia perbuatan provokasi dilakukan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh bagi mencemarkan imej kerajaan PR di mana-mana negeri.

Beliau berkata, sebelum ini PKR Selangor memang pernah mendengar ada pihak-pihak tertentu yang merancang untuk mempromosikan bendera selain yang ada.

Jelasnya, bagaimanapun perkara itu ditentang habis-habisan kerana ia tidak ada dalam mana-mana memorandum yang ditandatangani ketiga-tiga parti dalam PR.

“Isu ini tidak pernah dibincangkan... untuk apa dibincangkan kerana yang kita fokus adalah menukar daripada kerajaan rasuah kepada sebuah kerajaan yang sudah diuji keberkesanan dan mampu mentadbir.

“Kerajaan Pakatan tidak pernah bersetuju, jika ada unsur yang boleh mencetuskan perasaan tidak senang kita sepakat untuk tentang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda di Putra Heights di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda dan ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata, pihaknya komited menukar kerajaan Persekutuan berteraskan apa yang disebut dalam buku Jingga dan juga memorandum persefahaman perjanjian PR pada tahun 2009.

Katanya, menukar bendera bukan agenda PR justeru menganggap tindakan pihak berkenaan yang melakukan provokasi hanyalah perbuatan sia-sia.

Jelasnya, PR lebih fokus kepada dasar, polisi serta ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi perkara inti pokok dalam pentadbiran mencernakan kerajaan kebajikan.

“Saya nasihatkan kepada pihak yang membuat provokasi supaya hentikan perbuatan yang cuba untuk timbulkan  keadaan tidak selesa ini,” katanya.

Tiada ulasan: