HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 November 2012

Demi keadilan Ahmad, bapa sokong PR

KL TODAY

 

Ayah kepada mangsa yang ditahan polis kerana didakwa mengkritik Sultan Johor di Facebook, Abdul Jalil Abdul Rahman, berkata, hanya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) mampu membawa keadilan kepada anaknya yang ditahan.

Menurut Abdul Jalil, hanya dengan menukar kerajaan dapat membetulkan sistem yang bersifat kuku besi ini.

“Generasi mudalah yang mampu menukar semua ini,” kata Abdul Jalil ketika memberi ucapan sempena memperingati anaknya, Ahmad Abdul Jalil, yang ditahan polis kerana didakwa mengkritik Sultan Johor di Facebook, di Dataran Merdeka malam ini.

“Saya yakin generasi muda hari ini adalah generasi yang jujur, dan apabila menjadi jujur, kita selalu menjadi mangsa.

“Kita perlu menyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk memastikan keadilan untuk semua rakyat dijamin.”

Menurut Abdul Jalil, beliau percaya polis adalah anggota kerajaan yang baik, namun terpaksa patuh dengan perintah orang atasan.

“Orang-orang diataslah yang membuat arahan, mereka cuma menjalankan tugas mereka sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, ibu kepada Ahmad, Endon binti Bidin, berkata, beliau percaya Ahmad adalah seorang anak yang baik dan sentiasa mematuhi undang-undang.

“Saya percaya anak saya seorang yang baik, oleh itu, kami berharap agar polis menjaga keselamatan Ahmad,” kata Endon.

Menurut Endon lagi, keluarganya semakin kuat apabila menghadapi cabaran ini, dan mahu rakyat terus berani menyuarakan prinsip.

Turut hadir ialah ahli dewan undangan negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, kartunis Zulkiflee Anwar Haque (Zunar) dan peguam Fadiah Nadwa Fikri.

Seramai 50 orang membakar lilin bagi memperingati Ahmad yang didakwa difitnah dan dianiaya.
Meskipun dalam keadaan hujan lebat, mereka tetap berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap keluarga Ahmad.

“Ini cuma hujan, sedangkan Ahmad kini di dalam tahanan, kita akan terus berdiri untuk memberi sokongan terhadap Ahmad dan keluarganya,” kata Fadiah.

Sambil melaungkan “Daulat Rakyat”, mereka membawa kertas yang tertulis “Free Ahmad” sebagai tanda sokongan terhadap juruukur tersebut.

Tiada ulasan: