SHAH ALAM: Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Professor Datuk Dr Mohd Yusof Othman membayangkan bahawa Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan bersikap berat sebelah jika benar bekas Mufti Perlis itu ingin menyertai politiik.
Mohd Yusof berkata, perjuangan menegakkan keadilan tidak semestinya melalui saluran politik apatah lagi bagi seorang individu yang mempunyai daya intelektual yang tinggi dan memahiri aspek agama.
"Hendak menegakkan kebenaran dan keadilan tidak semestinya melalui politik sahaja. Malah apabila kita berparti ini, kita tidak hormat parti lawan pula.
"Sebagai seorang agamawan dan intelektual, dia (Asri) perlu mengulas sesuatu isu itu berdasarkan pengetahuan dan ilmu. Bukan berdasarkan satu pihak," katanya ketika dihubungi.
Dalam kenyataannya semalam, Asri mengesahkan ada bertemu dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun menegaskan masih belum menerima perlawaan mana-mana pihak untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Sumber Antarapos sebelum ini mendakwa Asri akan bertanding atas tiket PKR di DUN Penanti dan berkemungkinan diangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 jika Pakatan Rakyat kekal berkuasa di Pulau Pinang.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula bersikap terbuka dengan pilihan Asri sekiranya beliau benar-benar mahu terjun ke dunia politik.
Menurut Presidennya, Amidi Abd Manan pihaknya yakin Asri sudah memikirkan perkara berkenaan secara mendalam selain meminta pihak lain berfikiran terbuka dengan keputusan tersebut.
"ABIM menghormati pendirian Dr Asri di atas semangat untuk berparti dan kebebasan bersuara yang terkandung dalam prinsip insaniah.
Ditanya adakah tindakan Dr Asri akan menyebabkan reputasinya sebagai agamawan tercalar sekiranya beliau bertanding dalam pilihan raya akan datang, Amidi berkata, isu tersebut langsung tidak timbul.
"Pada saya perkara tersebut bergantung kepada tindakan beliau selepas ini. Reputasi, bukan setakat sebagai bekas mufti, mufti sekarang pun sudah ada yang rosak reputasinya apabila membuat perkara yang tidak sepatutnya yang nampak kecenderungan kepada pihak tertentu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan