HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mei 2013

BN tambah satu lagi kerusi di Wilayah Persekutuan

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menambah satu lagi kerusi di Wilayah Persekutuan apabila merampas kembali Parlimen Titiwangsa daripada Pas pada pilihan raya ke-13 semalam.

Kemenangan itu menjadikan BN menguasai empat kerusi - Titiwangsa, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan - daripada 13 yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan.

Muka baru BN, Datuk Johari Abdul Ghani memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan 23,034 undi, mengalahkan calon Pas Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi yang memperoleh 22,168 undi.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengekalkan kerusi Putrajaya dengan 9,943 undi, mengetepikan calon Pas, Datuk Husam Musa yang memperoleh 4,402 undi.

Bagi kerusi Labuan, Rozman Isli mendapat 12,694 undi, menewaskan Tan Sri Ibrahim Menudin (PKR) yang memperoleh 6,069 undi dan Hadnan Mohamad (Pas) yang menerima 386 undi.

Kerusi Setiawangsa juga dimenangi muka baru BN, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang memperoleh 26,809 undi, menumpaskan calon PKR Ibrahim Yaacob yang mendapat 25,419 undi.

Johari ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi Sekolah Menengah Aminuddin Baki di sini menyifatkan kemenangannya sebagai pencapaian yang membanggakan memandangkan BN berjaya merampas semula kerusi Titiwangsa daripada Pas.

Anak jati Kampung Pandan itu mengucapkan terima kasih kepada penduduk Titiwangsa yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui kawasan Parlimen itu.

Johari berkata, beliau akan membantu pucuk pimpinan BN merealisasikan Manifesto BN di kawasan itu selain meneruskan khidmat masyarakat yang dilaksanakannya sejak dua tahun lepas.- Bernama

Tiada ulasan: