"Daripada 42 calon Pemuda BN yang menang, 26 merupakan wakil Pemuda Umno yang menang di 21 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen," katanya.
Khairy, yang mengekalkan kerusi Parlimen Rembau, berkata walaupun ada calon Pemuda BN yang tewas, namun sebagai muka baharu, mereka sudah berjaya mendapat pengalaman, latihan dan pendedahan melalui PRU kali ini.
"Jadi, pada PRU akan datang mereka merupakan muka-muka yang sudah dikenali masyarakat tempatan," katanya kepada Bernama.
Khairy juga meminta calon Pemuda BN yang menang kali ini supaya memikul amanah yang diberikan rakyat dengan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.
Menurutnya, Pemuda BN akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji trend pengundian dalam pilihan raya umum ke-13 dan membincangkan strategi bagi menyatukan kembali rakyat dan meningkatkan keyakinan mereka kepada BN.
"Melalui post mortem ini, kita berharap dapat merangka langkah-langkah yang perlu bagi mengembalikan undi kepada BN pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pergerakan itu akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji 'tsunami undian' dalam kalangan calon-calon BN.
"Puteri Umno ingin mengkaji faktor yang menyebabkan tsunami undian berlaku. Saya sedih melihat tsunami ini kerana ia menunjukkan isu dan sentimen perkauman yang dimainkan pembangkang berjaya meracuni sebahagian rakyat," katanya.
Rosnah yang mengekalkan kerusi Parlimen Papar berkata sembilan wakil Puteri Umno bertanding di dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN pada PRU13.
"Daripada sembilan calon itu, hanya seorang calon Puteri Umno kalah di kerusi DUN Sikamat di Negeri Sembilan. Antara faktor kekalahan itu termasuklah undi masyarakat Cina yang tidak berpihak kepada BN," katanya.
Rosnah berkata secara umum, calon-calon Puteri Umno mencatatkan prestasi yang baik dan berjaya mendapat sokongan pengundi di kawasan masing-masing. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan