HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mei 2013

Lilah Yasin ditolak peneroka Palong – Rebin Birham

Norutul Ilham

Biro Felda Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Rebin Birham, yang dicalonkan di DUN Palong, Negeri Sembilan menjadikan isu peneroka sebagai bahan kempen utamanya untuk menumbangkan lawan.

N06-REBINMenurutnya, beliau menganjurkan dialog bagi membolehkan peneroka sendiri bertanya dan memberi pendapat, selain mendengar penjelasan berhubung tawaran Pakatan dalam isu Felda.

Katanya, hasil dialog terbuka itu, peneroka mula sedar mereka ditipu mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke dalam bursa saham.

“Isu yang seringkali dibincangkan adalah penipuan penyenaraian saham FGVH yang hanya merugikan peneroka kerana melibatkan pajakan 99 tahun.

“Peneroka sedih dengan tindakan BN, jadi mereka lebih berminat dengan tawaran Pakatan yang menjanjikan peluang pekerjaan kepada generasi kedua dan pemberian tanah kepada mereka,” ujarnya yang pertama kali menjadi calon dalam pilihan raya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik ini berkata, isu penolakan calon BN DUN Palong juga dilihat memudahkan gerak kerja menarik sokongan pengundi.

“Calon BN, Datuk Lilah Yasin ditolak peneroka kerana mereka tidak mahu calon bukan anak tempatan daripada Felda Palong.

“Jadi sekarang fokus kita menerangkan sebaik mungkin tawaran Pakatan untuk mengalahkan BN. Saya yakin undi peneroka akan memenangkan Pakatan,” katanya.

Tiada ulasan: