Calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) N 08 Indera Kayangan, Chan Ming Kai yang berdepan Ketua MCA Perlis, Dr Por Choo Chor optimis akan memenangi kerusi itu.
Menurutnya, beliau yakin rakyat bijak memilih dan menolak calon BN berdasarkan sokongan yang diperoleh sepanjang beliau berkempen dari rumah ke rumah.
“Ini menguatkan lagi harapan kita untuk menang, ada isu yang ditimbulkan bahawa saya bukan anak tempatan. Tetapi rakyat tetap tolak BN, mereka tidak terjerat dengan isu calon,” katanya ketika dihubungi.
Beliau sebelum ini merupakan Adun Simpang Pulai, Perak selepas memenangi kerusi itu pada 2008.
Ming Kai yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berkata, meskipun memegang tugas berat dicalonkan di Perlis, namun semangatnya untuk menumbangkan BN tetap menjadi keutamaan.
Antara isu setempat yang dibangkitkan ialah mengenai isu pembangunan yang diabaikan kerajaan negeri.
“Rata-rata apabila bertemu pengundi, mereka kecewa dengan BN yang tidak memberi perhatian dalam isu pembangunan di Perlis
“Sekurang-kurangnya dengan isu ini, rakyat sedar yang mereka dipinggirkan daripada arus pembangunan dan akan dijadikan sebab menolak BN,” ujarnya yang akan bertanding dalam tiga penjuru menentang BN dan calon bebas.
Pada Pilihan Raya 2008, Dr Por memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,263 mengalahkan calon KEADILAN, Poziyah Hamzah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan