| Harakahdaily, |
BANDAR JENGKA: Pengerusi
BN Datuk Seri Najib Razak berkata BN tidak berdaya untuk menurunkan
harga minyak dan buktinya ialah ramai negara lain tidak berbuat
demikian.Justeru itu, Najib berkata janji-janji Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sandiwara dan menegaskan bahawa semua pihak termasuk Anwar tahu janji itu sukar dilaksanakan.
"Dia ingat senang nak turunkan harga minyak, elektrik, air dan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta tol. Kalau senang, kenapa negara lain tak buat?” kata Najib yang dipetik Utusan Malaysia.
Najib turut memberikan contoh negara jiran Indonesia yang membuat keputusan baru-baru ini untuk mengurangkan subsidi harga minyak meskipun antara pengeluar terbesar minyak.
Menjawab hujah Najib, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga calon PAS di N.29 Dun Jengka, Pahang, berkata Najib tidak tahu menurunkan harga minyak bukan bermakna ia tidak boleh dilaksanakan.
“Masa Selangor beri air percuma, BN juga kata tak boleh. 50 tahun berkuasa kata tak boleh buat. Bila Pakatan Rakyat tunjuk caranya, sekarang BN meniru janji beri air percuma.
“Kalau BN tak tahu macam mana nak buat, biar Pakatan Rakyat tunjukkan. Dia tak tahu, bukan bermakna tidak boleh dilaksanakan,” tegas beliau kepada Harakahdaily.
Harakahdaily mendapatkan pandangan daripada Tuan Ibrahim setelah satu poster menjawab hujah Najib yang dimuatturunkan beliau di Facebook mendapat sambutan amat menggalakkan sehingga lebih 8,000 ‘shares’ dan setengah juta orang melihatnya.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata yang membezakan Pakatan Rakyat dengan BN ialah nilai amanah para pemimpinnya.
“Sini tiada rasuah, sana selalu bocor. Sebab itu tak boleh bagi harga minyak turun kerana bocor banyak sangat,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan