SINAR HARIAN
Beliau berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 147 Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
"Polis juga melarang kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan '505' daripada membuat sebarang perhimpunan dan perarakan ke Putrajaya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai supaya berwaspada dengan usaha pihak tertentu menyebarkan keputusan PRU13 yang tidak disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Di KELANTAN, perkara sama ditegaskan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai pengumuman keputusan tidak rasmi PRU13 bagi mengelak kekeliruan dan huru-hara.
Di LAHAD DATU, lokasi insiden pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah baru-baru ini, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata proses mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian berjalan lancar.
"Saya lihat rata-rata pengundi yang hadir tidak berasa takut memandangkan kita telah menterjemahkan kawalan keselamatan dengan kehadiran anggota polis dan tentera mengawal keselamatan. Keadaan kekal terkawal tanpa dicemari sebarang insiden tidak diingini," katanya kepada Bernama.
Di SEMPORNA, Ketua Polis Daerah Semporna DSP Firdaus Francis berkata pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan yang telah ditambah hari ini.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Ketua Polis negeri Datuk Jamshah Mustapa melarang penyokong parti daripada berhimpun, berkonvoi atau berarak selepas keputusan pilihan raya umum diketahui.
"Parti menang atau kalah jangan berarak, kibar bendera sambil menunggang motosikal kerana perbuatan itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada Bernama.
Mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, Jamshah berkata polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kekecohan, baik di pusat mengundi mahupun di tempat lain.
Proses pengundian di seluruh Terengganu berjalan lancar sehingga semua pusat mengundi ditutup pukul 5 petang tadi, katanya.
Bagaimanapun menurutnya, polis Terengganu menerima beberapa laporan berhubung dakwat kekal dan laporan itu akan dimaju kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan