HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Mei 2013

Temerloh akan jadi tapak buangan sisa Lynas?

Harakahdaily,

TEMERLOH: Penemuan sebuah tapak seluas 150 hektar yang sedang dalam pembinaan sebagai kawasan pelupusan sisa pepejal negara di Belenggu, Temerloh telah menimbulkan rasa resah di kalangan penduduk.
“Apa yang menimbulkan keraguan di ramai pihak, khususnya penduduk di kawasan Temerloh, yang banyak bertanya – terkejut dengan projek sebesar begini – kalau tempat ini dianggap sebagai tempat pelupusan sisa sampah – ia sebagai satu benda yang pelik kerana kawasan ini digali dengan begitu luas,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang akhbar di sini petang tadi.

Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu mengetahui tujuan sebenar tapak seluas ini, kos pembinaan dan pihak yang terlibat.

“Dan bagaimana mekanisme projek tersebut diberi – runding terus atau tender? Kita mendapati projek ini menimbulkan satu tanda tanya kepada penduduk kerana mekanisme menyediakan tapak yang begitu luas – apakah ia mempunyai kaitan dengan syarikat Lynas?” tanya beliau.

Ini kerana, katanya, sehingga kini rakyat masih tidak mengetahui di mana tapak pelupusan sisa radioaktif Lynas akan ditempatkan. Lebih-lebih lagi, apabila Nicholas Curtis, pengerusi Syarikat Lynas berkata tidak peruntukan untuk membawa sisa-sisa Lynas ke luar negara sebelum ini.

“Penduduk ingin mengetahui apa tapak sisa pepejal ini akan digunakan sebagai tapak pelupusan sisa Lynas? Kerajaan perlu berterus-terang dengan penduduk kerana kita dapati seolahnya satu projek yang tersembunyi – kita tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut – kita dapat ambil gambar dari luar. Rakyat perlukan maklumat lebih detail mengenai projek ini,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim juga berharap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan kerajaan negeri Pahang tampil menjelaskan keadaan sebenar di belakang projek ini dan berterus-terang ke manakah sisa radioaktif daripada Lynas hendak dibuang.

“Apakah Temerloh akan menjadi satu lokasi baru bagi pembuangan sisa tersebut? Dan kalau ini berlaku, ini satu malapetaka yang terpaksa dihadapi oleh penduduk Temerloh.

"Sehubungan itu, PAS Pahang harap kerajaan dapat memberikan penjelasan mengenai projek tersebut pada kadar yang segera kerana perlu mendapat maklumat dalam memilih kepimpinan negara,” tegas beliau.

Di sidang akhbar yang sama, calon PAS di Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan berkata dalam isu ini, PAS Pahang mementingkan isu alam sekitar dan keselamatan penduduk.

“Sudah tentu, kita perlukan jaminan daripada pihak berkuasa. Jadi, bagi pihak kami, pada bila-bila masa, kepada mana-mana pihak jua – kita akan pastikan alam sekitar terjaga dan keselamatan penduduk terpelihara.

Apa yang paling ialah ketelusan dalam apa jua tindakan dan projek. Perlunya sikap berterus-terang supaya rakyat mengetahui betul-betul keadaan sebenar,” tegas beliau, yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan: