SHAH ALAM – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa kerajaan
membatalkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah
dikeluarkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, selaras dengan perbincangan
semula yang akan dilakukan mengenai perkara terbabit.
Menurutnya, walaupun kerajaan enggan berganjak daripada keputusan
sebelum ini untuk meneruskan AES, namun hasil perbincangan selepas Hari
Raya diharapkan dapat menggembirakan pengguna jalan raya yang menjadi
'mangsa' kamera itu.
“Saya memang harap kerajaan dapat membatalkan terus saman AES yang
dikenakan sebelum ini kepada pengguna jalan raya selepas melakukan
perbincangan semula.
“Saya tahu kerajaan tidak akan berganjak dengan keputusan itu, tapi
biarlah kompaun yang dikenakan dikurangkan, kerana ia melibatkan
golongan muda yang baru mendapat kerja menggunakan kenderaan di atas
jalan raya.
“RM300 itu terlalu mahal dan lokasinya juga perlu dikaji semula,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Teresa yang juga naib pengerusi DAP sebelum ini mendakwa menerima aduan
daripada pengguna jalan raya yang keliru mengenai status AES setelah
Peguam Negara turut mengarahkan penangguhan pendakwaan terhadap pesalah
kamera tersebut.
Kelmarin media melaporkan isu saman dikeluarkan melalui AES akan
dibincangkan selepas raya ini, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau memberi jaminan keputusan yang akan dibuat kelak adalah adil kepada semua pihak.
"Isu ini perlu diselesaikan kerana kementerian menerima banyak aduan
daripada orang ramai mengenai AES kerana ia dilakukan oleh "pihak
ketiga" dalam pengeluaran saman dan pungutan wang saman," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan