THE MALAYSIAN INSIDER
Status Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kekal sehingga perbincangan pelbagai sudut mengenainya selesai, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kami tidak akan mengambil keputusan drastik sehingga kami memikirkan semua sudut.
"Hari ini kami babitkan pucuk pimpinan dan agensi lain, termasuk pihak kewangan, Bank Negara. Ini cara kita, kami nak ia dibuat secara inklusif, biarlah telus supaya orang tahu apa matlamat kita, kita mahu pastikan orang ramai selamat di jalan raya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.
Hishammuddin berkata, isu yang sentiasa menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia itu bukan isu yang mudah diselesaikan, namun beliau memberi jaminan setiap keputusan akan diputuskan secara adil untuk semua pihak.
Julai lalu, Hishammuddin berkata. saman AES masih berkuat kuasa meskipun proses pendakwaan mahkamah ditangguh dan ia perlu dibayar kerana notis yang dikeluarkan kepada pesalah adalah mengikut peruntukan undang-undang.
Bagaimanapun, pada 2 Ogos lalu, beliau berkata isu saman itu akan dibincangkan lebih lanjut selepas hari raya, namun menegaskan bahawa operasi perangkap had laju melalui AES masih dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis kecuali wujudnya pindaan undang-undang terhadap tindakan penguatkuasaan itu.
Sistem AES yang antara lain bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya setakat ini beroperasi di 14 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan