HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Ogos 2013

DAP dedah bukti, gesa RoS tarik balik arahan pemilihan semula

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK



Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke (gambar) hari ini menjawab kecurigaan Datuk Seri Najib Razak dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung dakwaan seramai 753 pewakilan parti itu tidak dimaklumkan untuk hadir pada pemilihan Disember lalu.

Beliau menjelaskan DAP sentiasa membalas surat yang diminta RoS dengan mengemukakan bukti kukuh seperti yang dipinta namun badan itu tetap meminta lebih butiran.

Katanya, pewakilan di empat kawasan iaitu Sungai Pelek, Desa Skudai, Taman Desa Dahlia dan Ladang Paroi yang dikatakan tidak menerima jemputan pada Disember lalu hadir di Pulau Pinang untuk pemilihan parti.

 "Najib berbohong dan menggunakan RoS sebagai platform untuk menghancurkan DAP.

“Parti kini dalam usaha mengumpul pengakuan mereka yang tidak hadir bagi membuktikan mereka menerima jemputan pemilihan parti hujung tahun lalu," kata Loke dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Loke berkata DAP bersedia untuk menjawab soalan yang bakal dikemukakan RoS dengan menyediakan 500 pengakuan pewakilan yang tidak hadir meskipun tidak diminta RoS.

Beliau berkata, adalah perkara biasa jika terdapat sebilangan pewakilan yang tidak dapat hadir dalam sesuatu pemilihan parti sambil meminta RoS berlaku adil dengan meneliti pemilihan Umno pada Oktober ini seperti mana yang dikenakan kepada DAP.

Katanya, perdana menteri harus segera menarik balik tuduhannya yang tidak berasas dan mengarahkan RoS untuk menarik balik arahan kepada DAP untuk mengadakan semula pemilihan parti.

"Kami memenuhi segala permintaan RoS dan menjawab kecurigaan pendaftar itu dengan sewajarnya. DAP bertindak berlandaskan perlembagaan parti dengan menghantar surat sepuluh minggu awal kepada setiausaha cawangan.

"Pewakilan yang  membuat pengakuan ini adalah di kalangan mereka yang bangkit secara sukarela dan tiada sebarang paksaan dari parti.

"RoS seharusnya lebih profesional dan membuktikan DAP bersalah sebelum mengambil tindakan membabi buta. Sebagai contoh, RoS sendiri boleh mengambil inisiatif untuk mengadakan siasatan dalaman dengan memanggil pewakilan yang tidak hadir," jelasnya sambil menyifatkan pewakilan yang mendakwa tidak menerima surat jemputan adalah satu bentuk penipuan dan usaha untuk menjatuhkan parti.

Ahli Parlimen Seremban itu memaklumkan jawatankuasa disiplin parti menyingkirkan keahlian pewakilan yang menipu dalam usaha mengaburi mata RoS.

Beliau menjelaskan parti akan melihat reaksi Perdana Menteri dan RoS sebelum mengadakan mesyuarat pada Khamis bagi membincangkan hala tuju pemilihan semula parti.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan pada Jumaat memetik kenyataan Perdana Menteri yang menjelaskan DAP tidak memaklumkan 753 anggotanya mengenai pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu akhir tahun lalu.

Beliau berkata, ini bukan jumlah kecil sambil menempelak DAP tidak menghindar daripada penyelewengan dan salah guna kuasa semasa pemilihan parti Disember lalu.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, Pelancaran Pelan Integriti Felda dan Majlis Hari Raya di Felda Sungai Tiang, Kedah.

Katanya,  tindakan yang dilakukan oleh ROS adalah semata-mata mengikut peraturan dan bagi Umno, jika parti itu ditegur oleh ROS mereka bersedia untuk memperbetulkannya.

"Malah Umno pernah diharamkan oleh mahkamah. Kita terima dan kita bangunkan semula. Kita cakap sesuatu kena amalkan juga baru ada kredibiliti sebagai sebuah parti politik," katanya.

Tiada ulasan: