HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Ogos 2013

Di mana bijaknya menteri sentuh anti raja?



Oleh Subky Latif

Saya tertengok laporan TV tentang laporan sidang Dewan Negara. Yang saya kira menjolok mata ialah slot Dato’ Shabrey Cheek mengulang tentang gejala anti raja di kalangan penduduk yang saya adalah hal yang terpinggir oleh segelintir orang yang boleh dikira sampah masyarakat.


Dalam slot itu dia bercakap kawalan yang perlu dibuat bagi membendung kejadian yang dikiranya tidak patriotik. Lalu dipujinya patriotik bangsa Inggeris yang bangga dengan sistem berajanya hingga rakyat Australia yang terpencil dari England itu ikut bangga menyambut kelahiran putera yang jadi waris ke empat takhta England itu.

Tetapi gejala tidak patriotik ini dikatakan berkembang dalam masyarakat kita.

Saya tidak nafikan gejala itu. Di negeri Siam yang begitu keras kekangannya pun ada juga orang tiga sukunya. Jangan dikata di England, di Australia, Kanada dan lain-lain tiada orng tiga suku itu tetapi pembesar-pembesar Thailand  dan Britain tidak menjadikannya isu murahan.

Mereka  tidak ulas dalam media massa dan tidak bercakap mengenainya di khalayak  ramai dan apa lagilah di Parlimen.

Anak-anak raja England itu bukanlah baik belaka. Banyak rumah tangga mereka yang pecah. Di sekeliling Ratu itu sendiri – adiknya, Puterinya, Putera Mahkotanya, menantunya dan cucunya ada kerenah belaka. Tetapi Ratu tidak dapat halang rakyatnya berkata buruk tentang semua kejadian itu.

Tetapi pembesar-pembesar tidak riuh hingga hendak mengadakan peraturan itu dan ini. Mereka biarkan saja orang-orang tiga suku itu bercakap apa yang dikehendakinya, sebaliknya pembesar-pembesar, media utamanya menganggap perkara itu tidak berlaku, dan mereka perbesarkan tentang rasa cinta  dan bangga bangsa itu terhadap bangsawannya.

Dalam semua keadaan mereka tunjukkan semua rakyat jelata suka sangat kepada raja. Mereka berbaris menuggu kereta anak raja kahwin lalu, mereka menunggu berjam-jam nak tahu menentu raja melahirkan putera atau puteri.

Dengan tidak memperdulikan kejadian tiga suku, maka keseluruhan  rakyatnya tidak melihat hal-hal tiga suku suatu yang besar dan mengancam sistem beraja dan patriotik mereka. Dengan kejadian tiga suku itu masyarakat luar Britain tidak mengira penyakit anti raja menular dalam masyarakat itu.

Tetapi apabila menteri kita suka sangat menyebut tentang orang itu anti raja, orang ini  tidak berada  dan biadab, dan yang lain pula anti nasional, maka ia menyebabkan orang tiga suku yang tidak terfikir dengan kedudukan raja itu  akan ikut semangkuk.

Dengan orang besar kita berkata begitu dan begini tentang orang tiga suku itu orang mengira bertambah gejala itu dari  semasa ke semasa.

Diamkan saja hal itu. Tidak usah dibesar-besarkan. Apabila ia tidak dihebah dan dihebohkan, orang tiga suku akan jadi perkara kecil yang mati sendiri dan orang tidak terasa bahawa sistem beraja menjadi masalah bagi semua rakyat.

Yang menjadi masalah ialah orang besar kita merasa dirinya  saja yang cinta pada  raja  dan dia saja yang patriotik. Orang lain semuanya anti feudal dan anti nasional. Sebenarnya sikap itu menyusahkan ketenteraman para bangsawan kita seolah-olah orang  tidak sukakan mereka menular.

Tiada ulasan: