KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas pihak yang cuba mempersoalkan tindakan polis menembak mati lima individu yang dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap di Pulau Pinang Isnin lalu.

“Apabila berlaku insiden tembak, mereka kata polis hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa. Apabila penjenayah ditembak mati pula, mereka kata polis zalim. Apa wayang dia orang main?

"Malah sebelum ini ada pihak mendakwa anggota polis terkorban mempertahankan tanah air di Lahad Datu, sebagai berdrama," katanya.

Menurut Khalid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengutamakan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.

“Kami amat serius apabila berhadapan dengan kes jenayah. Kami tidak peduli apa orang cakap. Kami ada tugas untuk laksanakan. Kami akan laksanakan tugas itu untuk memastikan rakyat selamat dan negara aman,” katanya.

Khalid menegaskan mana-mana pihak yang mempamerkan logo kumpulan haram selepas ini akan berdepan dengan tindakan polis.

Menurut beliau, ini termasuk logo dan nama kumpulan tertentu yang dilekatkan pada kenderaan.

“Kalau nak berarak mengiringi mayat tidak ada masalah bagi kami, (tapi) kalau mereka berani pamerkan logo kumpulan haram, bersedialah untuk diambil tindakan oleh polis,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Koperasi Polis di Hotel KL International, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang mempamerkan bunting dan logo kumpulan kongsi gelap O4 semasa pengebumian salah seorang ahli kumpulan itu yang ditembak polis Isnin lalu di Pulau Pinang.

Katanya, tindakan Ops Cantas adalah menyeluruh terhadap semua elemen jenayah, tidak kira sama ada mereka ahli kongsi gelap ataupun tidak dan polis juga sedang giat mengesan serta memburu beberapa penjenayah ganas.

Mengulas mengenai dakwaan keluarga si mati, bahawa mereka ditembak mati ketika tidur, Khalid berkata fakta telah diberikan dan tiada perkara yang hendak disembunyikan dan PDRM juga tiada halangan untuk inkues dijalankan.

“Mereka boleh cakap apa sahaja, kami laksana tanggungjawab untuk memastikan  masyarakat lebih selamat dan penjenayah yang ganas ini dapat diberkas,” katanya.

Katanya lagi, Ops Cantas akan diteruskan sehingga PDRM benar-benar berpuas hati dan semua penjenayah utama yang diburu dapat diberkas.