Sebagaimana yang kita maklum, UMNO-Barisan Nasional telah menang dalam PRK Kuala Besut setelah menabur peruntukan kira-kira RM 500 juta sepanjang tempoh kempen. Angka anggaran ini boleh dikembangkan pula untuk menilai sejauh manakah kejayaan BN kali ini. Dengan jumlah pengundi seramai 17,679 orang, maka ia bermakna setiap pengundi bernilai lebih daripada RM 25,000
Seandainya diperbesarkan lagi, maka dengan tambahan 158 undi majoriti, kita boleh menyimpulkan bahawa BN telah membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk satu undi majoriti yang menambah.
Kita sedikitpun tidak terbeliak dengan angka ini, seolah-olah PRK diadakan untuk memecah rekod jumlah peruntukan yang ditabur dalam PRK sebelumnya. Malah tiada sekatan dalam hal ini, sehingga Presiden UMNO Najib Razak tanpa segan silu menyogok pengundi secara terbuka ketika PRK Hulu Selangor pada tahun 2010 - cek bernilai RM3 juta akan dimasukkan pada hari Isnin, dengan syarat calon BN menang pada hari Ahad. SPR tetap berdiam diri dengan bahan bukti yang sedia ada - sama ada dalam bentuk laporan media bercetak, mahupun rakaman video - menyaksikan bagaimana Najib melanggar undang-undang secara terang-terang.
Bukan sahaja wang sogokan dan projek yang diperuntukkan, tetapi juga ugutan yang pelbagai. Kakitangan kerajaan diugut, apabila menunjukkan kecenderungan menyokong PR. Kesemua ini datang dalam satu pakej, dengan formula beli, ugut dan menang. Maka kita terpaksa akur jugalah apabila pengasas UMNO Baru, Mathathir Mohamad menyifatkannya sebagai syaitan yang dikenali.
Namun demikian, persoalan yang bakal dibangkitkan berikut bukan retorik politik, atau propaganda. Sejauh manakah UMNO-BN boleh menang tanpa sogokan, peruntukan projek, malah ugutan? Persoalan ini harus kita teliti dan jawab dengan jujur. Seandainya UMNO tetap meraih undi tanpa sogokan dan ugutan, maka kita sedia mengiktiraf hakikat bahawa parti politik ini masih disokong pengundi. Namun, jikalau undi yang diraihnya semata-mata kerana sogokan dan ugutan, maknanya undi itu bukan tanda sokongan, tetapi sebagai barang dagangan, atau tebusan. Pengundi memangkah BN kerana godaan wang, atau ketakutan kepada sang penguasa.
Seandainya diulas secara lanjut, ia bererti pengundi hanya mengundi BN kerana BN berada pada tempat berkuasa. Maka dengan kuasa yang ada dalam genggaman tangan, sumber itu boleh diagih-agihkan. Saya menjangka bahawa BN sebenarnya berada dalam dilema. Betapa gah sekalipun cuba ditampilkan, UMNO padahal tidak yakin sejauh manakah kekuatan dirinya. Jikalau benar UMNO yakin bahawa "Melayu tetap menyokong UMNO walau apa sekalipun", maka mereka sepatutnya berani menguji diri dengan turun ke padang tanpa "senjata". Buktikan kehebatan diri dengan persaingan dasar, integriti dan kewibawaan pemimpinnya, tetapi bukan lawan dasar dengan sogokan dan ugutan.
Justeru itu, kita sedar bahawa kekuatan UMNO-BN sebenarnya terletak pada kuasa dan sumbernya. Sekali UMNO-BN ditumbangkan, amat sukar ia bangkit semula. Rakyat sudah celik, bahawa adanya pembangunan bukan kerana adanya UMNO, tetapi pembangunan tetap diteruskan selagi peneraju tampuk kuasa menjalankan tugasnya dengan baik. Lihat apa yang berlaku di Kelantan dan Selangor, apapun tuduhan mahupun fitnah yang ditabur, tetapi rakyat tetap celik membuat keputusan.
Di sini PR harus sedar perjuangannya. Perjuangan politik bukan sekadar "menggantikan UMNO", tetapi membezakan diri daripada UMNO-BN. PR tidak akan menang dengan hanya menabur peruntukan atau projek. Pertama, apapun yang ditabur, PR tetap gagal menyaingi BN, kerana BN menguasai kuasa dan sumber terbesar di peringkat persekutuan. Kedua, jikalau PR sekadar mengulangi gelagat dan budaya UMNO-BN, apa makna untuk "perubahan"?
Saya terusik apabila dilaporkan bahawa Pemuda PAS memberi minyak percuma kepada penunggang motorsikal pada hari sebelum pengundian PRK Kuala Besut. Atas alasan apa sekalipun, langkah ini sukar dipertahankan. Jikalau diterima alasan bahawa langkah ini untuk menyampaikan mesej PR akan menurunkan harga minyak setelah menang dalam PRU14, maka sukar untuk kita menolak alasan BN - Pemberian insentif adalah keprihatinan BN untuk meringankan beban rakyat, peruntukan projek adalah usaha BN untuk membangunkan Kuala Besut dan sebagainya. Dalam tiga jam, segala-gala usaha PR untuk membezakan diri daripada BN, hangus dibakar dalam enjin motorsikal.
Pemimpin PR seharusnya sedar bahawa rakyat menaikkan mereka bukan sekadar untuk menggantikan BN.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga dihujani kritikan baru-baru ini, lantaran pelancaran patung UBAH di IJM Promenade. Antara pertikaiannya, patung ini adalah lambang DAP, dan kurang wajar dipromosikan oleh kerajaan negeri. Penyokong tegar cuba membela dengan alasan bahawa patung ini ditaja penyokong, dan bukan dibiayai kerajaan negeri Pulau Pinang, lantas disanggah bahawa jikalau alasan ini diterima, apalagi asas kita untuk membantah apabila BN membawa masuk penyanyi pop Korea, PSY dengan "tajaan" penyokong BN, kononnya? Jikalau kerajaan negeri Pulau Pinang DAP-PR menerima tajaan dengan angka RM60 ribu pada kali ini, apakah mereka akan menolak seandainya ditawarkan angka yang lebih besar pada masa depan? Lebih penting, apa udang di sebalik tajaan ini?
Maknanya, rakyat semakin celik politik. Jangan harapkan sokongan yang membuta tuli. Meskipun mendahagakan perubahan, tetapi jikalau pemimpin PR melakukan kesalahan, mereka tetap tegur dan hukum tanpa belas kasihan. Baik kita mengambil iktibar dari pengajaran silam, agar sejarah tidak berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan