Oleh Hafiz Zainuddin
DI
CELAH kesibukan warga kota Ipoh mencari rezeki, di sebalik ghairah
kerajaan dan pemaju membuka taman perumahan dan bandar baru, di situ
bersemayam sepi sebuah tanah warisan, kampung tradisi Melayu yang hampir
dilupakan, Kampung Kepayang.
Berusia lebih 100 tahun dengan catatan sejarah panjang dan
lagenda lampau, kampung ini adalah satu-satunya Kampung Melayu
tradisional di tengah kota yang masih bernyawa, hijau dan damai. Di sini
juga duduk letaknya sekitar 300 keluarga yang menumpang teduh di atas
tanah pusaka warisan nenek moyang mereka.
Mujurlah kampung ini tidak senasib seperti Kampung Paloh
dan perkampungan Melayu lain di tengah bandar yang kini hanya terakam
dalam sejarah masa dilahap jentolak dan buldozer atas nama pembangunan.
Jika nasibnya serupa, maka Kampung Kepayang tidak terkecuali bakal
meninggalkan jasa mencatat kelompok demi kelompok keluarga Melayu
sebagai statistik yang pernah mendiami bandar Ipoh. Tidak lebih daripada
itu.
Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang
Perdu rimbun buluh yang meliuk ditiup angin menyambut saya
pada hari raya kedua berkunjung ke sini. Perasaan saya tidak lebih
seperti pulang berhari raya ke kampung halaman, apa lagi saya tidak
pernah merasa pulang ke kampung memandangkan kedua-dua arwah nenek dan
datuk saya memang sudah lama berhijrah ke Ipoh.
Hari itu saya mengambil kesempatan memenuhi jemputan teman,
Faizal Zainol ke majlis rumah terbuka keluarga besarnya; Himpunan
Keluarga Keturunan Dato’ Panglima Kinta, Pasak Kepayang. Bagi saya,
alangkah bertuah jika dapat saya jejak susur galur keluarga keturunan
saya, sebab, baka keturunan ini boleh jadi kebanggaan. Walaupun tidak
kenal saudara jauh, tidak pula terus hilang jejak mereka, abah saya
pernah khabarkan bahawa keturunan keluarga kami berasal daripada suku
Bugis yang merantau ke Tanah Melayu dan turut punya pertalian darah
dengan Melayu Deli di Medan. Malangnya kami terputus hubungan dengan
saudara mara di seberang sebaik sahaja datuk saudara saya, Pak Su yang
menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur meninggal dunia beberapa tahun
lalu.
Suasana Kampung Kepayang hampir tidak berubah berbanding
dua tahun lalu ketika saya berada di sini melainkan tersergam sebuah
masjid baru yang menggantikan masjid lama berhampiran padang anak-anak
bermain bola yang berhadapan dengan tanah perkuburan lama. Tidak pula
saya perasan kalau-kalau sudah ada pusat kraftangan atau kompleks
sejarah dibina. Selain itu, semuanya tak terusik, biasa sahaja kecuali
beberapa rumah penduduk yang baru dicat.
Uniknya,
biar pun kampung ini berada di tengah kota Ipoh, menjejakkan kaki ke
sini menjanjikan satu suasana kontra. “Kampung ni macam satu kampung
dekat Bakelalan, Sabah nu,” kata Cikgu Azmi dengan nada seloroh ketika
duduk bersembang sambil menjamah kambing bakar.
Cikgu Azmi adalah seorang daripada waris keluarga besar
itu. Di suatu ketika tatkala Lembah Kinta masyhur sebagai lubuk
perusahaan bijih timah, Dato’ Panglima Kinta adalah orang yang
bertanggungjawab menguruskan pentadbiran daerah ini sebelum bertukar
tangan kepada penjajah Inggeris.
Saya mengenali Cikgu Azmi ketika saya dan beberapa orang
teman, saudara Kyl Mohamad, Ezham Mohd Noh, dan Faizal Zainol melakukan
penyelidikan ketika aktif dengan komuniti bebas dua tahun lalu.
Selain Cikgu Azmi, tidak boleh dilupakan ialah Suhaimi Mohd
Nazir atau lebih mesra dipanggil Udik.
Beliau adalah Setiausaha
Persatuan Keturunan Dato’ Panglima Kinta Pasak Kepayang. Udik adalah
antara orang yang paling banyak memberi maklumat kepada kami mengenai
sejarah kampung itu. Begitu juga Ketua Kampung, Kampung Kepayang ketika
pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) Perak, Haji Bakri atau lebih dikenali
sebagai Pak Wer. Mereka adalah individu yang banyak membantu kajian kami
selain ramai lagi responden penduduk kampung dan ahli akademik yang
ditemui.
Peri penting survival Kampung Kepayang Ipoh
Kami (komuniti bebas) mengambil Kampung Kepayang sebagai
subjek kajian dan penyelidikan memandangkan ia adalah sebuah kampung
tradisional Melayu yang unik kerana berada di tengah bandar dan masih
diduduki. Kebetulan, kampung ini juga bukan kawasan asing bagi saya, Kyl
dan Faizal. Inilah tempat kami mencari buluh untuk sebarang aktiviti
pasukan pengakap kami di zaman sekolah dulu – Pergerakan Pengakap 08
Kinta, Sekolah Menengah Anderson Ipoh.
Melalui kajian itu, hasilnya kami terbitkan melalui
penulisan dan sebuah dokumentari berdurasi 32 minit 32 saat berjudul
“Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang”. Dokumentari ini merungkai
susur galur sejarah Lembah Kinta sebermula abad ke 15 lagi. Ia
termasuklah Perang Perak pada 1875 membabitkan Sultan Abdullah, Sultan
Ismail, Dato’ Maharaja Lela dan JWW Birch. Turut diselitkan bersama
adalah lagenda popular yang diceritakan orang lama di situ secara lisan
mengenai lagenda Gunung Mat Sirat dengan mitos Sang Kelembai dan istana
raja yang menjadi batu.
“Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang” merupakan
sebuah dokumentari mengenai sejarah dan survival sebuah kampung yang
terletak di tengah bandaraya Ipoh. Bagaimanapun, melihatkan keadaannya
sekarang, saya kurang pasti masih adakah pihak yang prihatin terhadap
keberlangsungan survival kampung ini melainkan daripada perkhabaran
penduduk, tanah di Kampung Kepayang ini sentiasa diintai pemaju untuk
dibangunkan kawasan perumahan dan bandar baru.
Dokumentari
mengenai Kampung Kepayang bukan satu lagi projek syok sendiri
‘wannabe-wannabe’ yang kononnya mahu jadi pembuat filem. Pada 25
November 2011, Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang turut serta
dalam Festival Dokumentari Finas bersama 100 penyertaan individu dan
syarikat penerbitan perfileman yang lain bertempat di Studio Sound Stage
Finas dengan kerjasama Crossing Borders International Forum Pitching
Forum dan The 1st Finas Documentary Campus Conference.
Kami tahu, dengan sumber tenaga dan peralatan yang sangat
minimum, masakan kami boleh menyaingi pembikin dokumentari berpengalaman
dan hebat lain untuk memenangi anugerah. Tetapi, barang diingat, tujuan
Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang ini menyertai festival
dokumentari ini semata-mata bagi mengetengahkan isu, permasalahan dan
sejarah silam yang tidak diketahui orang walhal kampung itu adalah
sebuah kampung tertua di Ipoh setaraf dengan kewujudan Kampung Baru di
Kuala Lumpur.
Apa nasib Kampung Kepayang selepas ini?
Sehingga kini nasib dan survival Kampung Kepayang menjadi
persoalan besar. Jika kampung ini terus terpinggir atau perlahan demi
perlahan lenyap dalam keghairahan pemaju dan kerajaan meneroka bandar
dan perumahan baru, warisan hanya akan tinggal nama, seperti mana
Penjara Pudu yang menyembah bumi, Stadium Merdeka yang terancam,
bangunan lama di Jalan Sultan yang tiada masa depan begitu juga dengan
nasib Kampung Baru, Kuala Lumpur yang menjadi rebutan taukeh dan
pelabur.
Dalam hal ini, masyarakat harus ambil kisah. Wakil rakyat
harus peduli. Kerajaan harus cakna. Status tradisi dan warisan bukan hak
milik mutlak kuih samperit lemang, ketupat mahu pun dodol.
Benar, Kampung Kepayang wajar dikekalkan imejnya dengan
wajah kampung warisan. Tetapi, biarlah wajah kampung warisan ini
dihargai, diwartakan sebagai kawasan pelancongan bersejarah seperti
harumnya nama Pasir Salak dengan kompleks sejarahnya, begitu juga
Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey dan beberapa tempat lain.
Kampung Kepayang perlu melalui sebuah modul pembangunan
lestari. Industri desa seperti pembuatan makanan tradisi dan kraftangan
harus dibangunkan. Kompleks sejarah walaupun kecil perlu dibina. Makam
dan kubur lama biarlah bernisan.
Inilah Kampung yang menjadi saksi jatuh bangun Lembah Kinta
sebagai hub bijih timah tersohor suatu ketika dulu. Ini juga kampung
yang menjadi bukti kemandirian orang Melayu bersama masyarakat daripada
suku dan kaum yang lain membangunkan bandar ini.
Bandar Ipoh yang terkenal sebagai kawasan perlombongan
bijih timah tidak akan sempurna dengan peminggiran Kampung Kepayang.
Pohon Ipoh beracun yang ditanam berhadapan city hall tidak cukup kukuh
untuk menanggung segala cerita suka duka, sejarah jatuh bangun bandar,
kaum buruh, petani dan semua suku masyarakat di bumi Perak ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan