Exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam mengumumkan akan bertanding jawatan naib ketua Pemuda parti itu dalam pemilihan pergerakan itu akhir September depan, sekali gus mengesahkan cakap-cakap berhubung perkara itu sebelum ini.

Beliau membuat keputusan itu kerana yakin pengalaman sebagai ketua Pemuda di peringkat cawangan selama 22 tahun sehinggalah menjadi exco sayap kanan parti itu akan banyak berguna untuk pengukuhan parti.

NONESaya dengan rendah diri merayu sokongan sahabat-sahabat sekalian,” katanya yang pernah menjadi orang kuat Pemuda PKR sebelum menyertai Umno sebelum ini.

Selain bergiat sebagai exco, Lokman (atas) juga sekarang ini mengetuai Unit Pidato Pemuda BN dan menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jawatan itu kini dikatakan sedang diintai beberapa pemimpin Pemuda, ekoran kekosongan yang ditinggalkan Datuk Razali Ibrahim yang dilapor tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang.

Menurut sumber-sumber Pemuda Umno sebelum ini, lima exco Pemuda Umno disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua dalam pergerakan itu.

Selain Lokman, mereka ialah Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Haron,Ketua Pemuda Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin, Ketua Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar dan Naib Ketua Pemuda Titiwangsa Nazir Husin.