HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Ogos 2013

Mampukah zakat merawat masalah gelandangan kota?


Oleh ALI BUKHARI AMIR

Ada satu pertanyaan yang selalu menikam jiwa bila terkenangkan aliran wang zakat yang selalu dipungut sehingga mencecah jutaan ringgit. Sejauh manakah wang zakat itu dapat merawat sakit pedih orang yang tidak berdaya di bandaraya ini. Petang itu, saya ke Sogo bertemu rakan-rakan aktivis. Lalu, seperti biasa, api pertanyaan itu pun menjadi malap dengan tiba-tiba.

"Kali ini, ada banyak lebihan nasi sedikit yang kita buat dibanding agihan di Chow Kitt," kata Pengerusi Kami (Kumpulan Aktivis Media Independen) Ahmad Lutfi Othman kepada saya apabila beliau sudah tiba di sini. Sebelum ini pada 17 Julai lalu, Kami bersama Yayasan Prihatin Titiwangsa bersama Pas Kawasan Batu turun mengagihkan makanan kepada orang ramai di Stesen Monorail Chow Kitt.

Dan, baru-baru ini, 20 Julai lalu, acara itu disambung semula di beberapa buah kawasan di bandaraya, dengan kehadiran wajah sekumpulan pemuda yang dibiasakan dengan demonstrasi sejak dahulu. Mereka berpakaian serba hitam dan berlegar-legar mengelilingi Pasaraya Sogo, Jalan Dang Wangi, Puduraya dan beberapa tempat lain.

Ahmad Lutfi menapak setapak demi setapak, selangkah demi selangkah menuju ke beberapa buah teksi yang sedang berbaris menunggu pelanggan. Dengan tongkat yang setia menemaninya berjalan dia menyerah beberapa buah naskhah akhbar Harakah kepada pemandu teksi sekitar Sogo itu.

Ribuan mata umat memandang ke arah kelibat dan gelagat kami dengan pandangan yang aneh. Barangkali, pada wajah-wajah ini mereka selalu ingin bertanyakan sesuatu. Rakyat sudah bersedia untuk menjadi manusia yang sentiasa dahagakan jawapan. Mereka berjuang menuntut jawapan terhadap pergolakan politik tanahair yang selalu berombak dan membadai kali ini dengan pilihan raya di Kuala Besut.

Sesekali, terpantul di riak wajah mereka akan terpaan persoalan politik yang tidak kunjung sudahnya. Dan serbuan pertanyaan itu, jika lambat disambut, akan dijadikan modal politik oleh Umno pula.

"Kali ini, lebihlah sikit... dalam 500 bungkusan," berkata Ahmad Lutfi mengoyak lamunan politik saya. "Kak Siti pun dah sampai demam dah bila buat persiapan makanan ini..."

Dia berjalan terus. Ketika ini, anak-anak muda itu baru selesai memasukkan bungkusan nasi ke dalam plastik kecil dengan kurma dan air mineral. Dia berdiri menghadang Sogo yang disimbah sinar cahaya petang. Sesekali, kepulan asap bas menerpa ke muka dan berbaris melingkari wajah-wajah yang lama ternyala dengan api pertanyaan itu.

Agihan ini tidaklah hanya melibatkan orang ramai, malah ia lebih khusus menumpukan kepada pemandu bas dan teksi. Sebelum ini agihan makanan itu turut juga melibatkan orang gelandangan yang melewati kami. Dan, malah kami berhasrat akan menyantuni golongan gelandangan ini dengan lebih banyak pada masa depan.

Kamus Dewan memberi takrifan bahawa 'gelandangan' membawa erti ~ orang-orang yang pekerjaannya atau tempat tinggalnya tidak tetap. Selain itu gelandangan juga ditakrifkan sebagai tidak tentu tempat kediamannya atau pekerjaannya. Berdasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2007, telah disenaraikan 7,833 orang insan gelandangan ini. Setelah enam tahun berlalu, entah berapa ramai manusia gelandangan hari ini di Kuala Lumpur?

Jawapan ke atas pertanyaan ini tidak mudah digali dalam seharian menjalankan kajian lapangan. Apa pun, hingga kini, JKM sudah membuat kajian awalnya terhadap 1,387 orang gelandangan di Kuala Lumpur bagi mendapatkan gambaran sebenar isu mereka. Dan, kajian ini bertujuan membantu golongan itu juga. Daripada sini, didapati, antara faktor seseorang itu hidup bergelandangan adalah disebabkan:-

~ Ketiadaan Pekerjaan, Miskin Berpendapatan Rendah, Miskin, Tua, dan Sebatang Kara, Penagihan Dadah, Pengabaian, Miskin dan Tua, Masalah Mental, Sakit Melarat, Tiada Tempat Tinggal, Bekas Banduan, Ketidakupayaan, Lari dari Rumah, Masalah Keluarga, Kemurungan, Penagihan Arak, Warga Asing Terdampar dan Penerimaan Keluarga.

Kini, alam menghadiahkan sebuah petang yang redup dan cerahnya paling mendamaikan. Manakala di luar Sogo, ada selaut keriuhan manusia yang terhampar. Kebanjiran manusia mencurah di beberapa jalanan kota sekitar Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut masih memerhati gelagat kami dengan penuh tandatanya.

Tetapi, anak-anak muda ini bukan peduli apa pun ke atas pandangan mata itu. Mereka bekerja seperti biasa. Mereka terjun ke Dang Wangi selepas tamat agihan di Sogo. Di celah kebingitan suasana yang terhimpit, anak-anak muda berbaju hitam itu melambai-lambaikan tangan ke arah beberapa pemandu teksi dan pemandu bas yang berhenti untuk menurun dan menaikkan penumpang.

Ketika jam sekitar 6 petang itu, sudah banyak juga nasi-nasi yang diagihkan kepada para pemandu bas dan teksi. Saya bertanya Ahmad Lutfi mengenai sasaran beliau kali ini.

"Kita agihkan di Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Puduraya," katanya, "kita agihkan dalam 400 bungkus nasi Arab kambing dan berlaukkan ayam."

Kepada anak-anak muda yang terdiri dalam kalangan pelajar itu juga tidak dilupakan. Tambah beliau, "Kami juga turut mengagihkan makanan berbuka puasa kepada pelajar KUIS dalam 100 bungkus."

Hasil bualan sepanjang Ramadhan ini, saya terdengar juga saranan beliau hendak membantu demontran Presiden Mesir Morsi yang digulingkan kudeta tentera melalui suatu rampasan kuasa. Memang banyaklah yang hendak diusahakan dalam kudrat yang terhalang. Tetapi, niat beramal baik mesti dihidupkan selalu.

Lorong-lorong ini akan terus diziarahi oleh manusia-manusia lain pada keesokan harinya. Puluhan bas putih mencelah keluar masuk di daerah ini akan terus bertembung dengan himpitan orang ramai. Dan, ratusan teksi akan kembali bertali-arus untuk menyambung kehidupan dengan babak-babak perjuangan hidup seterusnya.

Awan cerah. Riak cuaca meraikan penduduk kota yang seharian bernaung di bawah biru langit. Tapi, adakah pesona keindahan alam dapat melantunkan rancangan besar ke atas penghuni kota?

Iaitu, rancangan mengalirkan wang zakat agar dapatlah setiap ringgit itu hadir ke Mesir bagi membela demonstran pro-Morsi dan rakyat gelandangan yang keras tertindas di mana-mana belahan dunia ini.

Tiada ulasan: