HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Ogos 2013

Muktamar PAS: Apa nasib Mat Sabu, Husam, Salahuddin?

 
Tokoh popular PAS itu kalah dalam pilihan raya umum ke 13 pada 5 Mei lalu.



PETALING JAYA: Apa nasib Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta dua  Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dalam muktamar pemilihan parti hujung tahun ini?

Tiga tokoh popular PAS itu kalah dalam pilihan raya umum ke 13 pada 5 Mei lalu.

Husam kalah kepada calon Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Mansor di parlimen Putrajaya, manakala Salahuddin kepada Datuk Nur Jazlan Mohamad di kerusi parlimen Pulai di Johor.

Mohamad yang dikenali dengan panggilan Mat Sabu yang bertanding di parlimen Pendang di Kedah juga kalah kepada calon BN, Datuk Othman Abdul.

PAS akan mengadakan muktamar pemilihan di Selangor pada hujung tahun ini.

Laluan mereka untuk mengekalkan  jawatan tersebut mungkin sukar jika beberapa nama baru tetapi popular untuk jawatan tersebut turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

Mereka ialah Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan, ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Kalah menang bukan ukuran

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahary berkata, kalah atau menang dalam pilihan raya bukan asas utama dalam membuat pemilihan pemimpin.

Beliau menambah, sebaliknya ahli akan melihat kejayaan dan kegagalan seseorang pemimpin PAS berdasarkan gerak kerja secara keseluruhan.

“Kalah menang pilihan raya perkara biasa, dalam PAS tidak semestinya orang kalah tidak boleh dipilih. Dan yang menang akan menang juga jawatan dalam parti.

“Saya percaya ahli PAS mempunyai penilaian sendiri dalam memilih pucuk pimpinan parti pada muktamar kelak.

“KIta serahkah kepada ahli untuk memilih pemimpin parti hujung tahun ini,” katanya lagi.

Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai muktamar parti ini.
Menurutnya, ini kerana beliau tidak mahu dilabelkan dengan imej negatif.

“Saya berkecuali dalam hal ini kerana fokus saya ialah bagaimana hendak menang dalam pilihan raya umum akan datang,” tambah beliau.

Tiada ulasan: