Cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) diswastakan bakal membuka pintu kepada kronisme, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, syarikat penerbangan nasional itu pernah diswastakan pada 2001 kepada Pengerusinya Tan Sri Tajudin Ramli dan mengalami kerugian yang kemudiannya memaksa Putrajaya membeli semula saham MAS pada harga tinggi untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.
"Dialah yang memberi MAS kepada Tajudin dahulu, sekarang sokong lagi penswastaan," kata Mahfuz merujuk kepada Dr Mahathir.
"Penswastaan MAS telah gagal di bawah Tajudin. Sekarang ini adakah ada kepentingan kronisme?" soal Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
Dr Mahathir semalam menyokong penswastaan MAS bagi mengelakkan syarikat berkenaan berhadapan kerugian.
Beliau yang pernah mentadbir Malaysia selama 22 tahun itu berkata, selagi MAS dikendalikan kerajaan akan mewujudkan kebergantungan dan sukar menjana keuntungan.
"Kadang-kadang kita dapati syarikat milik kerajaan ia tidak mempunyai keupayaan... apa yang terjadi kerajaan akan tanggung, oleh sebab itu saya percaya kepada penswastaan," katanya.
"Sepanjang pengalaman saya di Proton selepas ia diswastakan, pemilik baru sangat peka kepada untung rugi jadi mereka merombak keseluruhan pentadbiran baru untuk membuat untung kerana wang menjadi pertaruhan," katanya, dan menegaskan pemilik baru harus dipercayai kemampuannya menguruskan syarikat berkenaan.
Mahfuz menegaskan, wujudnya kemungkinan hartawan Bumiputera Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari diberikan kepercayaan untuk penswastaan MAS memandangkan beliau merupakan pemilik Proton.
"Ada kemungkinan Syed Mokhtar akan ambil alih MAS," katanya merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga bekas Pengarah Urusan MAS Datuk Seri Idris Jala sebelum ini menggesa Putrajaya mempertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan negara tersebut tetapi bukan pada harga yang merugikan.
Beliau berkata, MAS telah didagangkan pada RM6 ketika beliau menerajui tetapi kini harga sahamnya telah jatuh kepada 30 sen.
Putrajaya telah membeli saham MAS melalui Khazanah Nasional Bhd pada harga RM8 ketika krisis dalam MAS sedangkan saham syarikat berkenaan pada ketika itu bernilai RM3.68.
Khazanah merupakan pemilik majoriti MAS, yang telah mencatatkan kerugian untuk enam suku tahunan berturut-turut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan