HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Ogos 2013

Perkasa gesa Putrajaya tarik kerakyatan Namewee

Oleh Mohd Farhan Darwis



 Penyanyi rap, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee perlu ditarik kerakyatannya kerana bersikap biadap dan sering menimbulkan kontroversi kurang ajar, kata Pertubuhan Pribumi Kebangsaan (Perkasa).

Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar (gambar) menegaskan Putrajaya tidak lagi boleh berlembut dengan remaja yang lebih dikenali dengan panggilan Namewee, kerana terlalu banyak permohonan maaf yang telah diberikan sebelum ini.

"Berapa ramai pihak hina agama, bangsa, sudah tiada lagi adab sopan kepada bahasa dan bangsa kita," kata Abdul Rahman ketika sidang media di Kuala Lumpur lewat petang hari ini.

Abdul Rahman turut memberi peringatan, sekiranya Putrajaya tidak mengambil tindakan pantas, berkemungkinan rakyat akan bertindak sendiri dan membelakangkan perundangan negara.

"Saya minta warganegara ditarik balik, halau keluar negara, dia sudah lebih, saya tak mahu lagi permohonan maaf.

"Jika tindakan langsung tiada, jangan sampai rakyat bertindak sendiri," katanya.

Namewee dalam video terbarunya berjudul '017 Double Standard' selama lima minit 23 saat, mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung tayangan filem The New Village untuk dinilai oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Tindakan itu bagaimanapun telah menerima kritikan keras daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan Namewee sebagai "budak bodoh, berhingus, dan buta sejarah".

Namewee dalam videonya yang dimuat naik YouTube juga memaki-hamun pelbagai pihak berhubung penangguhan filem The New Village.

Nazri juga mengingatkan Namewee  bahawa dia tinggal di sebuah negara berbilang kaum yang penuh dengan sensitiviti yang perlu dihormati.

"Saya pun hendak hentam dia habis-habisan. Dia budak yang tidak tahu sejarah, budak yang bodoh, berhingus dan tidak faham tentang sejarah negara kita. Hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, kita harus mengambil kira sensitiviti dalam negara.

"Dia kena ingat, polis dan angkatan tentera telah membela negara kita. Jangan esok kalau apa-apa berlaku kepada dia, polis tidak mahu ambil tindakan, dia marah pula," kata Nazri.

Perkasa juga ketika sidang medianya berkata Namewee menjadi semakin berani atas kelemahan sendiri.

"Saya tidak sanggup perkara ini berterusan, bangsa, agama, Rukun Negara dihina dan tidak lagi diberi perhatian.

"Sikap yang berlaku sudah melebih-lebih, tiada rasa hormat dan harmoni, jadi kenapa kita nak berterusan begini," katanya, dan menambah Jabatan Peguam Negara juga perlu memainkan peranan mendakwa pihak yang terlibat.

Abdul Rahman berkata, beliau yakin polis telah menjalankan siasatan mereka namun AGC masih tidak mengambil sebarang tindakan pendakwaan.

"Laporan tinggal laporan, saya yakin polis sudah jalankan siasatan, tapi pendakwaan daripada pihak AG. Jadi saya minta kerajaan perlu lihat di pihak AG.

"Kalau kena orang Melayu cepat bertindak, tapi bila orang bukan Melayu, perkara itu hanyut sendiri sahaja... kami pun nak tahu kenapa."

Tiada ulasan: