BUKIT
MERTAJAM,: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong
membantah cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk
penyenaraian peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) kerana
menyebabkan anak muda menjadi mangsa dasar ekonomi kerajaan pusat.
Menurutnya, mereka yang belum membuat pembayaran balik
pinjaman PTPTN akan berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman
dengan bank lain.
“Walaupun secara amnya, mengetatkan syarat kredit merupakan
langkah yang baik, namun tindakan kerajaan dalam konteks ini tidak
mengambil kira pokok pangkal permasalahan yang ada.
“Anak muda tiada pilihan kerana PTPTN bukan kemewahan atau
kemudahan, tapi satu keperluan atau satu kemudahan kepada majoriti anak
muda dan keluarga mereka kerana dasar ekonomi berunsurkan kapitalisme
kroni yang diamalkan kerajaan pusat menyebabkan rakyat biasa terpinggir
daripada kekayaan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari
ini
Berdasarkan statistik penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0
(BR1M 2.0), 80% isi rumah di Malaysia berpendapatan pendapatan kurang
daripada RM3,000 sebulan dan 40% daripada isi rumah di Malaysia
mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.
Beliau berkata, keadaan ekonomi isu rumah yang suram
bertambah buruk disebabkan dasar kerajaan yang mengkomersialkan sektor
pendidikan tinggi di Malaysia.
“Pada hari ini, selain 20 institusi pendidikan tinggi awam
(IPTA), terdapat 365 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang
melahirkan kira-kira 200,000 siswazah setiap tahun.
“Jelas, kerajaan membenarkan sektor pendidikan tinggi
ditransformasi kepada pasaran untuk mengaut keuntungan tanpa
mementingkan kualiti serta kebajikan anak muda Malaysia.
“Dalam keadaan ini, anak muda tiada pilihan dan terpaksa
berhutang pada usia muda melalui pinjaman PTPTN bagi membiayai
pendidikan tinggi mereka dalam keadaan ekonomi keluarga yang suram.
“Dasar ekonomi kapitalisme kroni menghukum rakyat biasa
terutama anak muda, justeru, tindakan kerajaan pusat bagaikan menghukum
anak muda yang pada asalnya memang tiada pilihan selain berhutang,”
tambahnya.
Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan
DAPSY berkata, dasar kerajaan pusat nampaknya hanya menguntungkan pihak
bank dan syarikat swasta seperti pengelola IPTS dan akhirnya anak muda
menjadi mangsa ekonomi kapitalisme kroni.
Dalam ucapan Parlimen dan sempena Hari Belia Antarabangsa
tahun ini, beliau juga membangkitkan tiga kemelut ekonomi yang terpaksa
dihadapi anak muda iaitu aliran keluar kepakaran atau brain drain,
pengangguran anak muda yang tinggi dan guna tenaga tidak penuh atau
underemployment yang berleluasa.
Katanya, antara faktor menyebabkan kemelut itu termasuk
sistem pendidikan berciri komersial yang tidak dapat menyediakan
siswazah memasuki bidang pekerjaan dan dasar ekonomi kapitalisme kroni
yang mementingkan keuntungan dan bukan kebajikan rakyat.
“Melaksanakan penyenaraian CCRIS, maka anak muda yang
keluar bekerja akan menghadapi tekanan hidup yang lebih tinggi,
contohnya, disebabkan kegagalan dasar pengangkutan awam kerajaan maka
pengangkutan persendirian menjadi satu keperluan asas untuk anak muda
terutama untuk berulang-alik ke tempat kerja.
“Melalui tindakan kerajaan mengetatkan syarat kredit untuk anak muda, maka pembelian motosikal atau kereta menjadi satu masalah.
“Saya berpendapat tindakan kerajaan adalah tindakan
terburu-buru yang tidak mengambil kira kesan buruk kepada rakyat biasa.
Ini merupakan langkah simplistik kerajaan yang bertindak semacam “ah
long” memberi tekanan kepada anak muda untuk membayar balik pinjaman
PTPTN sedangkan kerajaan sendiri gagal menaikkan ekonomi rakyat biasa
termasuk anak muda bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati
kekayaan negara dengan adil,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang
berkata, isu itu akan memberi kesan buruk kepada ramai anak muda, maka
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diminta campur
tangan dan menginsafkan rakan beliau dalam Kabinet tentang kesusahan
anak muda pada masa kini dan memansuhkan rancangan penyenaraian CCRIS
itu.
Beliau juga menyeru kerajaan pusat mengkaji semula dasar
mengkomersialkan sektor pendidikan dan mempertimbangkan dasar pendidikan
tinggi percuma yang disaran dalam manifesto Pakatan
Rakyat.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan