Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR: Ketua Biro Hal Ehwal Guaman KEADILAN, Latheefa Koya meminta polis menjelaskan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) yang diguna pakai setiap kali melakukan serbuan bagi menangkap suspek penjenayah.
“Tindakan pihak polis yang tidak mahu mendedahkan standard yang diguna pakai mereka adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah polis mengambil langkah betul setiap kali melakukan operasi membenteras jenayah,” jelasnya merujuk tindakan polis menembak mati lima individu yang dikatakan anggota kongsi gelap di Sungai Nibong, Pulau Pinang baru baru ini.
Menurut Latheefa, polis perlu memberi keyakinan kepada rakyat dengan menangani sesuatu kes dengan telus dan beretika.
Tambahnya, kegagalan pihak berkuasa itu menangani kes dengan cara yang sewajarnya hanya akan membuatkan rakyat hilang keyakinan terhadap agensi penguatkuasaan tersebut.
“Kita lihat apa yang berlaku terhadap adik Aminul Rashid dan Norizan Salleh yang ditembak polis tanpa sebab. Apakah kita yakin polis mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum melepaskan tembakan?
“Jika polis boleh sesuka hati melepaskan tembakan terhadap orang awam yang belum tentu bersalah, maka sudah tidak perlu lagi ada mahkamah untuk mensabitkan seseorang itu bersalah atau tidak,” ujarnya.
Isnin lalu, lima individu yang dikatakan anggota kongsi gelap di Sungai Nibong, Pulau Pinang telah ditembak mati oleh pihak berkuasa polis. Sehari selepas itu, Ketua Persatuan Hindraf Malaysia yang juga Timbalan Menteri, P Waythamoorthy turut mempersoalkan kes tersebut.
Beliau mendakwa melihat gambar mayat-mayat tersebut dan sukar mempercayai berlakunya tembak menembak seperti yang didakwa pihak berkuasa.
“Sesiapa sahaja yang berfikiran waras tidak akan percaya berlaku tembak menambak antara polis dan suspek,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan