MALAYSIAKINI
Bapa kepada seorang penumpang penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines
(MAS) masih menanti kepulangan anaknya, Norliakmar Hamid, 33, yang
menaiki pesawat itu bersama-sama suaminya ketika ia hilang sejak 8 Mac
lepas.
Hamid Ramlan, 56, seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman
berkata walaupun penantian merupakan satu penyeksaan, beliau sekeluarga
masih yakin Allah SWT dapat menemukan mereka dengan anak perempuan serta
menantunya, Mohd Razahan Zamani, 24.
"Pasangan itu pergi ke Beijing, China untuk berbulan madu. Hampir dua
minggu kami tidak menerima sebarang maklumat positif mengenai mereka.
Kami tawakal dengan segala ketentuan Ilahi," katanya ketika dihubungi
Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata jika keadaan sebaliknya berlaku, mereka keluarga tetap akan menerima dengan redha walaupun perit.
Sementara itu, S.Thenmoli, 26, adik perempuan kepada seorang penumpang
MH370 turut yakin abangnya, S.Puspanathan, 34, tetap akan pulang ke
pangkuan keluarga meskipun sudah 13 hari pesawat berkenaan gagal
dikesan.
Thenmoli, seorang eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta di
ibunegara, berkata anggota keluarganya masih menanti kepulangan
Puspanathan yang menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.
"Pagi ini saya tengok berita mengenai imej satelit menunjukkan dua objek
yang boleh dikaitkan kepada pesawat MH370 yang hilang namun saya masih
percaya abang saya selamat," katanya kepada Bernama.
Thenmoli berkata mereka sekeluarga tetap berdoa agar abangnya dapat ditemui secepat mungkin.
Puspanathan mempunyai seorang isteri, K.Sridevi, 30, dan dua anak lelaki P. Varmer, 3, dan P. Thashuvarmen, setahun.
Thenmoli berkata Sridevi, yang merupakan seorang suri rumah, kini
menetap di Batu Caves, Selangor bersama ibunya selepas tiada sebarang
maklumat postif mengenai insiden kehilangan pesawat itu.
Sejumlah 227 penumpang dan 12 anak kapal menaiki pesawat itu, yang
hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing setelah sejam berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam
Jumaat.
Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott memaklumkan Parlimen di
Canberra bahawa imej satelit negara itu menunjukkan dua objek yang boleh
dikaitkan dengan pesawat berkenaan.
Sementara itu, Utusan khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting
berkata Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk memberi maklumat
terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, kepada
keluarga 239 penumpang dan kru.
Katanya, Malaysia sentiasa telus dalam membekal dan menyebarkan maklumat kepada mereka.
"Kami cuba menjawab soalan dan menyelesaikan kesangsian mereka secepat
mungkin," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan selepas
taklimat dua-setengah jam dengan keluarga penumpang dan kru di sebuah
hotel di Cyberjaya malam tadi.
Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru
hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira
sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
pada 12.41 pagi 8 Mac.
Ong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sentiasa
memberi keutamaan teratas terhadap keluarga kru dan penumpang.
Taklimat itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan
Datuk Seri Long See Wool, Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof,
pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerbangan Awam, wakil-wakil Angkatan
Tentera dan pegawai-pegawai Wisma Putra. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan