Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (gambar) daripada Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyelar kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tunku Jaafar dalam menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat semalam bahawa bukan Melayu kurang sensitif dalam isu rogol bawah umur.
Beliau berkata Wan Junaidi sudah menimbulkan kemarahan kerana cuba memutar belitkan angka statistik dengan niat memalukan kaum bukan Melayu di negara ini.
"Beliau (Junaidi) menuduh kaum bukan Melayu tidak sensitif dalam kes rogol bawah umur kerana mereka tidak membuat laporan polis.
"Dalam kata lain, beliau menyatakan bahawa kes rogol bawah umur berlaku banyak di kalangan bukan Melayu tapi tidak dilaporkan ini adalah tuduhan yang tidak berasas," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sivakumar turut menyelar tindakan timbalan menteri kerana membuat tafsiran yang sangat melencong.
"Memutarbelitkan fakta statistik adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
"Timbalan menteri memanipulasikan perangkaan untuk tujuan kepentingan politiknya," katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Junaidi yang membentangkan statistik ketika di Dewan Rakyat semalam di mana 80% kes rogol bawah umur pada tahun 2012 dan 2013 ialah daripada kalangan kaum Melayu.
Kes rogol bawah umur daripada kalangan kaum Cina ialah 4.3%, kaum India ialah 2% dan kaum lain 13% pada tahun 2013.
Katanya isu tersebut tidak patut dilihat dalam perspektif perkauman kerana ia merupakan isu melebihi batasan perkauman.
"Statistik yang kita ada itu harus digunakan untuk membantu golongan muda dan remaja supaya tidak terjerumus dalam aktiviti sosial yang tidak bermoral dan dilarang agama.
"Nasihat saya janganlah sentiasa mencari isu perkauman untuk publisiti murahan dan kepentingan politik dengan cara menghina kaum lain di negara ini," katanya.
Justeru itu, beliau mendesak timbalan menteri itu untuk memohon maaf serta merta kepada kaum Melayu kerana kenyataan perkaumannya yang tidak berasas.
"Saya juga memberi amaran kepada beliau supaya tidak bertindak dengan sengaja menimbulkan isu perkauman yang menimbulkan sensitiviti pada masa hadapan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan