PULAU PINANG: Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding
dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya berhasrat mahu terus
terlibat dalam politik.
Secara sinis Presiden PKR itu berkata, Dr. Mahathir perlu berbuat
demikian bagi membuktikan beliau merupakan pilihan rakyat seterusnya
layak menerajui pakatan pembangkang.
Katanya, beliau sendiri telah melalui situasi berkenaan sebelum berada pada kedudukan hari ini.
“Saya bertanding pilihan raya dan menang kerana dipilih rakyat dan
menjadi ketua pembangkang, jadi kamu nilai sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Menteri Besar Kedah, Datuk
Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau
Pinang (HPP), di sini hari ini.
Wan Azizah mengulas saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk
Seri Dr. Salleh Keruak dalam blognya bahawa Dr. Mahathir perlu mengambil
kedudukan dalam kepemimpinan pembangkang kerana beliau sudah
melaksanakan peranan itu secara ‘de facto’.
Ketika ditanya sama ada Dr. Mahathir wajar bertanding semula dalam
pilihan raya umum akan datang sekiranya mahu menjadi ketua pembangkang,
Wan Azizah berkata: “Kamu (media) yang perlu membuat spekulasi dan saya
tidak mahu bercakap apa-apa tentang perkara itu pada masa sekarang. Yang
penting saya bertanding dan menang.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan