HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2016

Pengerusi NGO bergelar Datuk ditahan terima wang perlindungan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Plaza Tol Nilai dekat sini hari ini selepas dikatakan menerima wang perlindungan daripada pengusaha judi ekor haram.
 
Datuk berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kira-kira pukul 10.50 malam tadi.
 
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik yang mengesahkan penahanan itu berkata, suspek yang ditahan seterusnya dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
 
Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pengusaha yang dipercayai bertanggungjawab menjalankan aktiviti judi ekor haram di negeri tebabit.
 
"Akibat tidak tahan sering diperas ugut oleh Datuk terbabit sebanyak RM25,000 sebulan, mangsa membuat keputusan untuk melaporkan kes berkenaan kepada pihak polis.
 
"Selain itu, mangsa juga turut mempunyai bukti rakaman suara Datuk berkenaan melakukan ugutan ke atasnya sekiranya tidak mahu kegiatan mangsa didedahkan oleh pihak media atau dilaporkan kepada polis," katanya.
 
KPN sahkan penahanan
 
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan penahanan tersebut.
 
"Saya sahkan tindakan menangkap suspek dilakukan berdasarkan laporan mangsa yang sering menerima ugutan. 
 
"Lelaki itu ditahan ketika menerima wang daripada pengadu (mangsa)," katanya.
 
Polis turut merampas wang tunai RM16,000 dalam kereta Toyota Vellfire dinaiki suspek. 
 
Turut ditahan, seorang lelaki warga India dipercayai pemandu suspek. 
 
Suspek dan pemandunya yang ditahan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 kanun sama, akan direman di Mahkamah Seremban, hari ini. 
 
Pihak polis meminta individu yang pernah menjadi mangsa suspek berkenaan berhubung kegiatan peras ugut, diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
 
 

Tiada ulasan: