HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2016

Boleh kerjasama dengan syarat PAS ubah sikap, kata Azhar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS harus bertolak ansur dalam soal pengagihan kerusi jika ikhlas mahu bekerjasama dengan  parti lain untuk menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),  kata Parti Amanah Negara (PAN).
 
Pengerusi PAN Sungai Besar Azhar Abdul Shukur sebarang kerjasama PAS-Pakatan Harapan (PH) hanya boleh berjaya jika PAS mengubah sikapnya.
 
"Sebagaimana disebut kenyataan pimpinan PAS bahawa (ia) boleh bergabung tetapi Amanah (PAN) tidak boleh bertanding (kerana) kerusi PAS tetap milik PAS.
 
“Itu bukan gabungan. Pakatan itu maksudnya kena ada bertolak-ansur," kata Azhar kepada Antarapos, hari ini.
 
Beliau menegaskan tidak ada guna jika PAS-Pakatan Harapan " bergabung hanya untuk bergaduh semula.”
 
“Tidak mahu begitu. Kena berhati-hati. Tetapi perlu satu gabungan pembangkang untuk berdepan dengan BN,” kata beliau.
  
Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan PAS menimbang semula keputusannya sebelum ini untuk memulau PH.
 
Azmin melontar cadangan itu setelah PAN dan PAS tewas dengan majoriti besar kepada BN pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar minggu lalu.
 
Kekalahan itu dikaitkan dengan perbalahan di antara PAS dan PAN.
 
PAN adalah serpihan PAS yang kini bersama PKR dan DAP di bawah payung PH.
 
Sebarang kerjasama antara PAS dan PH juga bertambah rumit akibat permusuhan politik antara PAS dan DAP yang menamatkan “riwayat” Pakatan Rakyat.  
  
PAS enggan menyertai PH namun beberapa kali menegaskan ia tetap menjadi parti pembangkang dan menubuhkan blok ketiga yang menjadi alternatif kepada BN dan PH.
 
Selain menentang BN, PAS juga bertekad menentang calon-calon PAN, khususnya  yang menjadi wakil rakyat atas tiket parti itu pada PRU 13.
 
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memperlihatkan kesukaran pembangkang untuk memastikan saingan satu lawan satu menentang BN sebagaimana yang berlaku pada PRU 12 dan 13.
 
Bagaimanapun Azhar optimis terhadap peluang untuk pembangkang termasuk PAS mencapai permuafakatan dalam soal pengagihan kerusi.
 
"Mungkin PRU14 sebagai langkah permulaan untuk mencari titik persamaan yang akhirnya akan menjadi (usaha) berpanjangan," kata Azhar, calon PAN yang tewas di PRK Sungai Besar.
 
 

Tiada ulasan: