HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Jun 2016

Britain keluar EU ada kesan jangka pendek untuk negara: Penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic


SHAH ALAM: Malaysia mungkin akan berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi untuk tempoh jangka masa pendek berikutan perisytiharan Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Menurut penganalisis ekonomi Prof Datuk Mohd Yusof Kasim, ketidakstabilan itu berpunca daripada perjanjian perdagangan yang sudah dimeterai sebelum ini bersama pelabur-pelabur asing dengan negara berkenaan.

"Jangka pendek ni mungkin ada kesan ketidaktentuan ekonomi sebab kita tak pasti apa sentimen pelabur-pelabur kepada UK tu sendiri.

"Sebenarnya saya lebih suka Britain kekal (kerana) akan membawa masuk blok (ekonomi) lebih besar dengan Eropah. Sekarang bila dah keluar, EU akan bersendirian jadi perdagangan dan perjanjian yang sebelum ini mungkin kena dibuat semula," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Dalam dagangan awal tengah hari di Asia, laporan BBC menunjukkan Britain telah mengundi untuk meninggalkan 28 negara Kesatuan Eropah dengan margin kira-kira 51.9 peratus undi berbanding 48.1 peratus yang mahukan ia kekal.

Namun ujar Yusof lagi, ketidakstabilan ini akan pulih selepas beberapa masalah yang timbul diatasi negara terlibat.
"Mereka kena buat pembetulan semula dalam ekonomi dan pasaran modal.


"Kita sudah lama ada hubungan perdagangan dengan EU, cuma saya rasa sekarang mempengaruhi sentimen saja. Di peringkat awal-awal nilah, tapi jangka panjang mungkin akan stabil semula," katanya lagi.

Susulan keputusan itu, ia turut menyebabkan pasaran saham dan harga minyak menjunam selain pound mencecah paras terendah dalam tempoh tiga dekad.

Undian keluar Britain dari EU juga mencetuskan kegelisahan dalam pasaran global yang cuba mencerna hasil kejutan berkenaan.

Saham Tokyo menjunam kira-kira lapan peratus, kejatuhan terbesar sejak 2008, manakala Kospi Korea Selatan jatuh kira-kira tiga peratus.

FTSE 100 Britain pula susut pada 8.3 peratus.

Harga minyak mentah dan niaga hadapan minyak AS juga menunjukkan kejatuhan besar.

Pound British menjunam lebih 10 peratus dalam tempoh enam jam manakala yen melonjak kira-kira tiga peratus berbanding dolar AS berikutan pelabur mencari langkah selamat dengan memilih mata wang Jepun.


Tiada ulasan: