HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Jun 2016

MB Kedah: 'Tak ada terima cadangan, jumpa pun tidak'

MALAYSIAKINI


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bahawa beliau tidak ada menerima sebarang cadangan nama daripada MCA untuk menggantikan anggota exco kerajaan negeri, Datuk Dr Leong Yong Kong yang mahu keluar MCA.

Ahmad Bashah berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut, selain menyifatkannya hanya sekadar khabar angin biasa.

"Tak ada perkara seperti itu... dan saya pun tidak tahu... tak terima cadangan, jumpa pun tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Biro Kebajikan Umno ke Kedah.

Menteri besar mengulas dakwaan kononnya beliau sudah menerima nama calon yang akan menggantikan Leong, memandangkan hanya satu kuota exco kerajaan negeri diperuntukkan kepada MCA.

Leong yang juga ADUN Gurun dalam satu sidang media di Sungai Petani baru-baru ini mengumumkan akan keluar dari MCA kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan jawatannya sebagai anggota exco dan menyerahkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tong Lai untuk menggantikannya (sebagai timbalan pengerusi MCA Kedah).

Menyifatkan masalah itu sebagai masalah keluarga, Ahmad Bashah berkata Leong berkemungkinan kurang mendapat maklumat mengenai sesuatu perkara hingga menyebabkan beliau bertindak mahu keluar parti.

"Oleh itu saya luluskan cuti beliau selama dua minggu dan beri dia tempoh bertenang. Kita percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik bersama MCA," katanya.

Ahmad Bashah berkata, isu kononnya MCA dipinggirkan dan hanya menjadi 'sleeping partner' dalam Barisan Nasional juga tidak seharusnya timbul.
Menteri besar itu berkata beliau sering mengadakan mesyuarat bersama parti-parti komponen.

"Semua ada dalam mesyuarat, tiada yang terpinggir," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: