KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan penggunaan siri
nombor pendaftaran kenderaan khas VIP 1 hingga VIP 9999 dalam usaha
untuk mengumpul dana bagi tujuan promosi dan penganjuran Tahun Melawat
Pahang 2017.
Sumber kerajaan negeri memaklumkan, permohonan kerajaan negeri untuk
mendapatkan hak eksklusif bagi siri nombor pendaftaran khas tersebut
telahpun diluluskan Kementerian Pengangkutan.
Menurutnya, tujuan penjualan nombor pendaftaran khas VIP atau ringkasan
daripada perkataan 'Visit Pahang' itu bertujuan untuk mengutip dana
bagi keperluan promosi Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP).
"Ia adalah sebagai salah satu cara untuk mengelakkan kebergantungan
kepada peruntukan kerajaan negeri kerana usaha untuk menganjurkan dan
mempromosikan TMP memerlukan kos agak tinggi kerana ia akan dilakukan
sehingga ke kota London.
"Selain itu kerajaan negeri juga ingin menjadikan nombor pendaftaran
siri khas ini sebagai kenangan dan ingatan kepada TMP 2017 pada masa
akan datang," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.
Katanya, langkah itu juga antara cara untuk mengelakkan pihak penganjur
terlalu mengharap kepada tajaan mana-mana pihak yang sudah tentu
sumbangannya agak terhad.
Dalam masa yang sama, katanya kerajaan negeri turut mengharapkan jualan
terhadap nombor pendaftaran siri khas VIP ini mampu meraih bidaan yang
tinggi sama seperti nombor pendaftaran 'F'untuk Putrajaya.
Katanya, kerajaan negeri dijangka membuat sidang media khas bagi
memaklumkan perkara itu selepas segala urusan yang berkaitan selesai
dengan pihak yang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan