Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS sudah serik 'dipermainkan' DAP sepanjang menjalinkan
hubungan politik dengan parti itu menerusi Pakatan Rakyat, justeru tidak
hairanlah parti Islam berkenaan menolak sebarang cadangan untuk
bergabung dengan gagasan politik baru, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan
Raya Umum (PRU) akan datang.
Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir menambah PAS juga nekad menolak
jemputan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan kerana gagasan itu turut
dianggotai parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).
DAP selama bertahaluf siyasi dengan PAS kerap membangkang agenda
perjuangan Islamnya manakala PAN dianggap sebagai pengkhianat selepas
keluar daripada PAS dan menubuhkan parti baru, yang mirip wadah
perjuangannya.
"Tidak mahu pisang berbuah dua kali, begitulah pegangan PAS kerana mereka merasa sudah dipermainkan oleh DAP.
"PAS melihat permainan politik ini sudah mengajar mereka banyak perkara
jadi tidak mahu terjerumus lagi dalam lubang yang sama," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Terdahulu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu
Antarapos, bahawa PAS meletakkan syarat untuk bergabung dengan parti
pembangkang sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Syaratnya adalah PAS tidak mahu menyerahkan atau mengorbankan kerusi
mereka kepada parti lain selain pembangkang perlu komited untuk
mengadakan pertandingan satu lawan satu pada PRU14 kelak.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menyaksikan
pertembungan empat kerusi antara PAS dan PKR makalan pertindihan lima
kerusi antara PAS dan PAN.
Malah PAS juga cuba dinafikan hak untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Namun tegas Jeniri, sekiranya PAS masih tetap dengan syarat mereka, ia
tidak akan menguntungkan bukan sahaja parti itu tetapi pembangkang yang
lain.
"Kalau PAS bertindak bersendirian, PAS tidak akan ke mana-mana. Sama
juga dengan parti komponen pembangkang yang lain, hakikatnya mereka
saling memerlukan.
"Jadi kalau betul-betul kedua-dua belah pihak nak menakluki Putrajaya
(mereka) tak ada pilihan lain kecuali semua parti berkorban (kerusi)
(dan) perbetul kesilapan yang dialami semasa berada dalam Pakatan
pembangkang sebelum ini," tegasnya.
Tetapi ujarnya, walaupun PAS bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan
raya akan datang, adalah mustahil untuk parti itu menyerahkan kerusi
mereka kepada parti komponen Pakatan Harapan.
"Itu yang jadi masalahnya, Amanah (PAN) akan ambil kerusi dari mana?
Amanah (PAN) akan ambil kerusi daripada PAS dan tidak mungkin daripada
DAP dan PKR. Jadi sebahagian besar itu adalah pertembungan antara
PAS-Amanah (PAN)," ujarnya.
Malah katanya pembangkang perlu sedar isyarat yang dihantar pengundi
pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar hujung minggu lalu, kerana
mereka sudah jemu dengan pergolakkan yang tiada kesudahan.
"Sekarang pengundi sudah menghantar mesej dengan jelas dalam dua PRK
ini, jadi pola dan corak pengundian itu sebenarnya menggambarkan apa
yang bakal berlaku dalam PRU akan datang kalau parti komponen
pembangkang ini tidak mengambil iktibar," katanya.
Beliau turut yakin sekiranya pembangkang gagal mencapai kata sepakat
sebelum PRU akan datang, kedegilan PAS akan menjadi punca kepada
kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan